Trump Sedia Jumpa Kim Jong-Un, Selesai Isu Nuklear


CAMP DAVID – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyatakan kesediaan bersemuka bersama Ketua Korea Utara, Kim Jong-Un dengan harapan ia mampu meredakan krisis nuklear membabitkan Pyongyang.

Kenyataan Trump itu adalah reaksi terbaharu beliau selepas sekian lama saling berperang mulut dengan Jong-Un, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap perang nuklear antara kedua-dua negara.

Dalam percutian rasmi Presiden ke Camp David, Trump, berkata beliau percaya rundingan mampu menyelesaikan pelbagai isu.

“Saya tidak akan teragak-agak melakukannya dan saya tidak mempunyai sebarang masalah berhubung perkara itu,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, persetujuan itu tidak bermakna rundingan terbabit akan dilakukan tanpa sebarang syarat.

Korea Utara dan Korea Selatan masing-masing bersetuju berunding secara rasmi dan Trump melahirkan harapan untuk melihat perbincangan itu lebih daripada sekadar membincangkan penyertaan Pyongyang dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk di Korea Selatan.

“Saya mahu melihat perbincangan berkenaan lebih daripada hanya membincangkan Sukan Olimpik. Kami juga akan turut serta pada masa yang sesuai,” katanya. 

Sumber – AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com