Tokan Syabu Baling Ditahan AADK Bersama 14 Penagih Dadah


ALOR SETAR –  Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Baling berjaya menahan seorang tokan dadah yang dipercayai aktif menjalankan aktiviti mengedar syabu di daerah ini dalam satu serbuan di Taman Tok Kaya, Pulai dekat sini.

Pemangku Ketua Pegawai AADK, Nor Hajar Aswat Kamis berkata, tokan berusia 33 tahun itu dikatakan begitu aktif membekal dadah di sekitar Pulai dan beberapa kawasan lain sekitar Baling. 

“Ketika serbuan pihak AADK turut merampas tiga paket lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis methamphetamine (syabu),” katanya dalam kenyataan media.

Turut ditahan dalam operasi tersebut tiga lelaki berusia 20 hingga 30-an,  serbuan dilakukan bermula jam 9 malam hingga 5.30 pagi kelmarin.

Nor Hajar Aswat berkata, selain itu serbuan pada waktu yang sama turut dijalankan di Kampung Sadik, Kampung Bukit Iboi, Kampung Mengkuang, Kampung Teluk Durian, Kampung Parit Panjang, Kampung Tok Weng, Kampung Ulu Sera, Taman Sebelah Perodua dan Kampung Padang Setol.

Seramai 14 individu berusia lingkungan 18 hingga 40 tahun ditahan dalam operasi tersebut.

Hasil pemeriksaan saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis opiat dan methamphetamine.

Kesemua mereka dibawa ke Pejabat AADK Daerah Baling untuk tindakan lanjut. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com