Tokan Dadah Dari Pendang Tumpas Diburu Enam Bulan


PENDANG - Lebih enam bulan diburu, seorang tokan dadah akhirnya dicekup polis dalam serbuan Op Tapis di kebun getah Kampung Baru, Sungai Tiang, Khamis.

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan ketika ‘berkeliaran’ di kawasan sarang penagihan dadah dikenali ‘port’ Tok Mid dipercayai menunggu penagih membeli dadah.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim berkata, suspek antara sembilan individu ditahan dalam operasi bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari semalam, oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang.

Katanya, lelaki itu sebelum ini begitu licik melepaskan diri sebelum ditangkap semalam, dan hasil pemeriksaan polis turut merampas satu gram dadah serta peralatan menghisap dadah dalam simpanannya.

“Semua sembilan lelaki termasuk tokan itu ditahan di kawasan kebun getah yang dipercayai menjadi port dadah berikutan penemuan barangan seperti straw dadah.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 3 (1), Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ditemui di lokasi serbuan.

Menurut Fadzil, daripada sembilan penagih ditahan, enam diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan tiga ditahan di IPD Pendang.

“Hasil ujian air kencing, lapan didapati positif morfin dan seorang syabu,” katanya.

Ketika ditanya wartawan, lelaki itu mendakwa memperoleh bekalan dadah melalui seorang lelaki dikenali ‘Boy’ di Pulau Pinang dua kali seminggu dan mendapat upah menjual sekitar RM90 hingga RM100 sehari.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com