Tohmahan Terbaru Terhadap PM Dan Keluarga Mudah Dipatahkan PMO


Terdesak untuk terus menjejaskan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, di mata rakyat di negara ini, "askar maya" pembangkang terpaksa menyebar fitnah melibatkan isu status rombongan keluarga beliau ke Arab Saudi.

Lawatan kerja lima hari Mohd Najib negara berkenaan atas jemputan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, difahamkan telah dimanipulasi dan disebarkan menerusi media sosial bagi mencetus kekeliruan serta kemarahan netizen terhadap beliau.

Dipercayai bermotifkan politik, "jentera siber" yang menyokong Pakatan Harapan itu dikesan membuat tohmahan jahat kononnya rombongan ahli keluarga Mohd Najib menyalahgunakan kemudahan dan bajet kerajaan untuk "tumpang" menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci.

Mereka juga mendakwa delegasi "tambahan" itu tidak layak diberi sebarang keistimewaan di Arab Saudi kerana bukan bertaraf Tetamu Negara dan cuba mengambil kesempatan menerusi lawatan rasmi Perdana Menteri buat kali kedua di sana.

Sebelum ini, gerombolan "cybertroopers" pembangkang telah malu besar kerana mempertikaikan sumbangan peribadi kerabat DiRaja Arab Saudi kepada Mohd Najib yang ditular dua tahun lalu.

Mereka bukan sahaja biadab menghina Raja Salman Abdulaziz Al-Saud termasuk ketika himpunan haram Bersih, malah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengelarkan baginda sebagai "Tok Arab Bodoh Gila" kerana isu derma RM2 bilion itu.

Ironinya, jika benar Mohd Najib kononnya sengaja membuat cerita palsu itu, tidak mungkin beliau dapat melakukan lawatan rasmi ke Arab Saudi pada 2016, bahkan Raja Salman turut berkenan membalas lawatan itu dengan melawat pula Malaysia pada tahun lalu.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berhubung tohmahan terbaru ini turut menjelaskan isu status anggota rombongan keluarga Mohd Najib yang sebenarnya juga menikmati taraf sebagai Tetamu Negara diberikan pihak kerajaan Arab Saudi.

Untuk rekod, dari sudut protokol rasmi dan status tetamu istimewa, segala kos perbelanjaan delegasi berkenaan sepanjang berada di negara kelahiran Rasulullah SAW itu akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Arab Saudi sendiri.

Justeru itu, ia menegaskan bahawa tidak timbul isu kononnya "duit rakyat" Malaysia khasnya pembayar cukai dibazirkan untuk membiayai bajet lawatan Perdana Menteri, sekali gus menjejaskan kredibiliti serangan terbaru propaganda "cybertroopers" pembangkang itu.

Berikut di bawah ialah kenyataan rasmi Pejabat Perdana Menteri mengenai isu lawatan kerja Najib ke Arab Saudi ketika ini yang dikeluarkan di Putrajaya, semalam.:
PMO MALAYSIA

10 JANUARI 2018

Lawatan kerja YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak ke Arab Saudi adalah atas jemputan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

Ia bagi membincangkan isu-isu dua hala yang telah dipersetujui kedua-dua negara semasa kunjungan beliau ke Malaysia pada tahun lalu.

Rombongan YAB Perdana Menteri turut disertai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Sri Jamil Khir, Datin Sri Rosmah Mansor, Tun Rahah Mohammad Noah, beberapa ahli keluarga, kenalan dan pegawai Perdana Menteri.

Selain itu, adalah menjadi hasrat YAB Perdana Menteri untuk menunaikan ibadah umrah semasa lawatan kerja ini.

Dato’ Sri Mohd Najib telah mengajak ahli keluarga beliau dan beberapa kenalan dalam lawatan ini bagi bersama beliau dalam mengerjakan ibadah umrah.

Adik-adik YAB Perdana Menteri termasuk kenalan beliau yang turut sama dalam lawatan ini telah membuat PERBELANJAAN SENDIRI ke Tanah Suci.

Hanya Tun Rahah yang turut bersama Dato’ Sri Mohd Najib dalam perjalanan kapal terbang ke Arab Saudi.

Nama-nama mereka ini telah dimasukkan dalam senarai rasmi rombongan YAB Perdana Menteri bagi memudahkan urusan pentadbiran dengan pihak Arab Saudi bagi program ibadah umrah.

YAB Perdana Menteri dan ahli rombongan juga telah diberi taraf Tetamu Negara oleh Kerajaan Arab Saudi.

Pejabat Perdana Menteri.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com