Tiga Dun Kedah Dijangka Bakal Jadi "Medan Tempur" PAS, Pakatan Harapan


Anak Bukit, Pengkalan Kundur, Kubang Rotan yang berada Parlimen Kuala adalah antara yang menjadi tumpuan pada pilihan raya umum akan datang.

BN tentunya akan bertanding bagi merampas kembali kawasan itu yang kalah dua kali sejak PRU 2008. PAS pula mahu mempertahankan ketiga-tiga kerusi tersebut dan menawan kembali Parlimen Kuala Kedah yang kini disandang PKR. 

Tentunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan membenarkan kerusi Kuala Kedah itu terlepas kepada BN mahupun PAS.

Tidak kurang menarik ialah kerusi Dewan Undangan Negeri Anak Bukit yang kini menjadi 'milik' Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) setelah bekas ADUN PAS, Datuk Amiruddin Hamzah melompat kepada parti pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Kerusi tradisi PAS yang ditinggalkan oleh Allahyarham bekas Presiden PAS, Datuk Fadzil Nor itu wajar dipertahankan oleh PAS. 

Amiruddin yang juga bekas Exco dan bekas Pengerusi PAS kawasan Kuala Kedah dijangka  dicalonkan oleh PPBM untuk mempertahankan kerusi  DUN berkenaan.

Perebutan kerusi DUN Anak Bukit bakal mengukur sejauh mana kekuatan PPBM dan Pakatan Harapan di kawasan berkenaan. Ia juga akan mengukur sejauh mana kekuatan PAS selepas ' Amiruddin menyarung jersi' kelab baharu. 

Lagi pun beliau dikatakan sudah 'sebati' dengan penduduk Anak Bukit sejak menang kerusi berkenaan pada 2003. 

Dalam pada itu, DUN Pengkalan Kundur juga tidak kurang menarik kerana kerusi ini 'dimiliki' oleh Parti Amanah Negara (PAN) walaupun pemimpin PAN negeri, Datuk Datuk Phahrolrazi Zawawi menang atas tiket PAS selain sumbangan daripada perpecahan dalam UMNO bahagian Kuala Kedah.

PAS tentu sekali mahu mempertahankan DUN Pengkalan Kundur yang dimenangi dua penggal lalu.

Begitu juga, kedudukan PAS di Kubang Rotan yang kini turut 'goyang' kerana ADUN PAS, Mohd Nasir Mustafa juga tidak lagi menyokong PAS dan dikatakan kini menyebelahi Pakatan Harapan. 

PKR dijangka kekal bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kedah dan akan berusaha mempertahankan kerusi itu daripada ditawan semula oleh BN dan PAS.

Namun Pakatan Harapan masih belum yakin dapat mempertahankan Kuala Kedah kerana kawasan itu dianggap masih 'kelabu gelap', tambahan pula apabila berlaku pertembungan tiga penjuru antara BN-Pakatan - PAS. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com