Tiga Blok Rumah Pangsa Di Kulim Dibaik Pulih Mulai Mac


KULIM - Tiga blok rumah pangsa Taman Jati yang berada dalam keadaan uzur akan mula dibaik pulih bermula Mac ini, kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) Rohaizad Rashid.

Beliau berkata, kerja membaik pulih bagi blok E, F, G rumah pangsa empat tingkat dengan 15 unit rumah bagi setiap aras itu dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

"Kita dah periksa dan kerja baik pulih itu akan melibatkan pembaikan pada bumbung dan siling, sistem saluran kumbahan, pembaikan rumah sampah dan mengecat.

Kita juga akan menjalankan bancian ke atas unit rumah yang kosong kerana banyak aduan mendakwa kerosakan berpunca daripada unit-unit yang kosong ini terutama membabitkan saluran kumbahan," katanya ketika sesi taklimat bersama penduduk Blok E, F, G rumah pangsa Taman Jati di sini semalam.

Rohaizad berkata, kerja-kerja pembaikan sebelum ini dilakukan ke atas blok A, B, C dan D pada 2015. 

Dalam pada itu, anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata, pihaknya akan memberi dana tambahan bagi melancarkan proses membaik pulih rumah pangsa serta infrastruktur di taman berkenaan. 

"Tambahan RM300,000 akan diberikan dan dalam masa yang sama, saya mahu langkah tertentu dilakukan ke atas unit-unit kosong di sini. 

"Setakat ini, pilihan terbaik yang kita rasa adalah meminta tuan rumah yang sudah tidak beminat dengan kediaman tersebut agar menjualnya kepada kerajaan negeri untuk disewakan atau dijual semula kepada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), MPKK atau pejabat daerah," katanya. 

Jelasnya, daripada bancian yang dilakukan, sebanyak 134 unit rumah didapati kosong di tiga rumah pangsa berkenaan. 

"Saya nak ramaikan penduduk di kawasan ini kerana kita mahu mewujudkan pelbagai kemudahan termasuk kedai 1Malaysia dan klinik 1Malaysia. Kalau tak ada orang, macam mana kita nak laksanakan walaupun ada permintaan untuk kita wujudkan kemudahan tersebut," katanya. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com