Tiada 'Mekanik' PUSPAKOM Terbabit Lumba Haram


IPOH - Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Sdn Bhd menafikan seorang daripada kakitangannya terbabit dalam lumba haram di bandar raya ini, awal pagi semalam.

Menerusi satu kenyataan, syarikat itu berkata berdasarkan pengesahan maklumat dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak, individu yang mendakwa dirinya sebagai mekanik PUSPAKOM sebagaimana dilaporkan, tiada tersenarai dalam sistem kakitangan syarikat.

"Kami menafikan kenyataan berkenaan dan mengesahkan tiada kakitangan PUSPAKOM ditahan dalam Ops Trafik yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

"Dakwaan mekanik itu ditahan sekali gus menjejaskan reputasi PUSPAKOM sebagai sebuah organisasi yang mendokong dan membantu untuk menyebarkan pentingnya keselamatan jalan raya serta penjagaan kenderaan pada tahap operasi yang terbaik.

"PUSPAKOM menyeru semua pihak agar mendapat pengesahan daripada syarikat sebelum mengeluarkan kenyataan membabitkan nama dan kakitangan syarikat bagi mengelakkan kekeliruan serta menjaga nama baik syarikat," kata kenyataan itu.

Dalam laporan media semalam, lelaki yang mendakwa dirinya mekanik PUSPAKOM berusia 20 tahun antara 38 individu yang ditahan dalam Ops Trafik di beberapa lokasi di bandar raya ini.

Individu berkenaan mengubah suai motosikal jenis Yamaha LC miliknya sebelum dipercayai menyertai lumba haram.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com