Tiada Kompromi Aspek Keselamatan - MAHB


KUALA LUMPUR - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata pihaknya tidak boleh berkompromi terhadap soal keselamatan dan perlu mematuhi protokol ketat yang ditetapkan di lapangan terbang.

Pengendali lapangan terbang itu menjelaskan demikian susulan dakwaan Ketua Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan, Jabatan Pendidikan Sarawak, Wan Fadillah Wan Ahmad yang terpaksa meninggalkan anak perempuannya berusia 12 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) bersendirian selama sembilan jam kelmarin, selepas tidak dibenarkan mendaftar masuk penerbangan berikutan ketiadaan MyKid.

MAHB dalam satu kenyataan, berkata pihaknya bersimpati dengan masalah dihadapi keluarga berkenaan, tetapi keutamaan pihak keselamatan penerbangan (AVSEC) ketika itu hanyalah bagi memastikan langkah keselamatan diikuti berdasarkan peruntukan yang ditetapkan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA); Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, ia bagi menjaga pintu keluar masuk negara daripada daripada sebarang kemasukan penumpang tidak sah, demi menjamin keselamatan individu dan juga syarikat penerbangan.

"Protokol keselamatan ketat ini juga adalah selaras dengan Program Keselamatan Penerbangan Awam Negara (NCASP) yang menetapkan bahawa hanya dokumen pengenalan atau perjalanan asal saja yang boleh diterima untuk pelepasan.

"Adalah menjadi tugas kami bagi memastikan setiap penumpang mempunyai dokumen perjalanan asal dan sah sebelum mereka dibenarkan untuk menaiki penerbangan," katanya.

Kenyataan itu turut menjelaskan, berdasarkan pemerhatian kanak-kanak terbabit tidak ditinggalkan sendirian di terminal lapangan terbang seperti dilaporkan sebaliknya, dia ditemani pasangan dewasa.

"Rakaman kamera pengawasan menunjukkan kanak-kanak itu bersama pasangan terbabit dilihat meninggalkan lapangan terbang menaiki sebuah kereta kira-kira jam 1.48 petang.

"Justeru, kita pasti kanak-kanak itu tidak ditinggalkan sendirian yang mana ia bertentangan dengan laporan berita yang disiarkan," katanya.

MAHB berkata, pihaknya mahu orang ramai faham akan peranan mereka dalam menjaga keselamatan lapangan terbang yang mana ia turut menyumbang kepada keselamatan negara.

Katanya, tiada ruang pengecualian diberikan dalam mematuhi peraturan ketat itu, demi kepentingan keselamatan dan kawalan para penumpang.

"Berdasarkan kes pemerdagangan manusia sebelum ini yang turut membabitkan kanak-kanak, kami berharap orang ramai terutama ibu bapa dapat menghargai pemeriksaan yang dilakukan petugas keselamatan dalam memastikan keselamatan di laluan keluar paling sibuk di negara ini berada pada tahap tertinggi," katanya.

Terdahulu, Wan Fadillah yang dipetik portal Sarawak Voice Daily, berkata isu itu timbul apabila seorang daripada tujuh anaknya tercicir MyKid ketika hendak mendaftar masuk penerbangan ke Kuching menggunakan pesawat AirAsia sekitar jam 1.40 petang.

Katanya, satu laporan polis dibuat klia2 sejurus menyedari kehilangan dokumen itu dan kemudian menemui anggota keselamatan di pintu masuk pelepasan domestik bagi memaklumkan mengenai masalah dihadapinya.

Bagaimanapun, beliau mendakwa anggota terbabit bertegas dengan tidak membenarkan anaknya melepasi pemeriksaan keselamatan biarpun sudah menunjukkan laporan polis, salinan pasport dalam telefon bimbit dan salinan surat beranak.

Selepas beberapa usaha lain gagal, beliau akhirnya terpaksa meninggalkan anaknya sendirian di lapangan terbang itu dan menaiki penerbangan ke Kuching untuk mengambil pasport asal anaknya sebelum berpatah balik ke Kuala Lumpur menerusi penerbangan lain pada jam 5.40 petang.

Kedua-dua beranak itu selamat pulang ke Kuching menaiki penerbangan pada jam 10.35 malam.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com