Thailand Tumpas Sindiket Curi Kereta Malaysia


BANGKOK - Sindiket curi kereta dari Malaysia menjadikan Thailand sebagai pusat transit bagi kenderaan berkenaan sebelum menyeludupnya ke negara lain di rantau ini seperti Laos, Kemboja dan Vietnam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata, sejak 2015, Polis Diraja Thailand (RTP) merampas lebih 100 kenderaan yang dicuri di Malaysia dan menyerahkannya kepada PDRM.

“Thailand dijadikan negara transit oleh sindiket curi kereta dari Malaysia,” katanya kepada media selepas menerima 20 kereta Malaysia yang dicuri, kebanyakannya kenderaan mewah, daripada Penasihat RTP, Jeneral Witaya Prayongpan dalam satu majlis rasmi di sini semalam.

Selain mengucapkan terima kasih kepada RTP atas kejayaan cemerlang mereka dalam membanteras jenayah itu, beliau berkata, pasukan polis dari kedua-dua negara akan meningkatkan kerjasama bagi melumpuhkan sindiket curi kereta yang kini beroperasi di Malaysia dan Thailand.

Katanya, sejak beberapa tahun lepas, Bukit Aman dan RTP menjalin kerjasama rapat dalam semua bidang seperti yang dapat dilihat baru-baru ini menerusi penangkapan enam rakyat Malaysia di Bangkok yang didakwa mempunyai kaitan dengan sindiket peni­puan melalui telefon.

Beliau berkata, usaha sedang dilakukan bagi mengesan rakyat Malaysia yang mengetuai sindiket itu yang ditumpaskan di Bangkok minggu lalu.

Sementara itu, dalam kenya­taan dikeluarkan selepas majlis penyerahan kenderaan berke­naan, RTP berkata, kenderaan curi menjadi isu sejak sekian lama dan memberi kesan negatif terhadap ekonomi Thailand dan Malaysia.

Perdana Menteri Thailand, Jen Prayut Chan-o-cha dan Timbalannya, Jeneral Prawit Wongsuwan sering menegaskan tentang kepentingan menangani isu itu kerana ia dipercayai berpotensi membuka laluan kepada aktiviti jenayah lain.

“Ini bukan melibatkan kende­raan curi semata-mata tetapi juga berpotensi mempunyai kait­an dengan pembiayaan aktiviti jenayah lain seperti keganasan,” katanya. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com