Thailand Lokasi Pilihan Penipuan Pusat Panggilan Rakyat Malaysia?


BANGKOK  - Penahanan enam rakyat Malaysia yang disyaki anggota sindiket penipuan, oleh pihak berkuasa Thai pada awal bulan dan beberapa kes baru-baru ini, menjadikan negara ini tumpuan kepada sindiket penipuan membabitkan warga Malaysia.

Oleh kerana lebih ramai rakyat Malaysia terlibat dalam penipuan pusat panggilan atau 'Macau Scam' yang kini merengkok di dalam penjara Thai, pihak berkuasa di kedua-dua negara telah mengusahakan lebih banyak kerjasama dan tindakan bersama dalam mengatasi masalah yang semakin berleluasa ini.

"Penipuan pusat panggilan membabitkan rakyat Malaysia (di Thailand) perlu diberikan perhatian. Sebelum ini, penipuan itu dilakukan oleh warga Afrika, China atau Taiwan di Malaysia, tetapi kini rakyat Malaysia datang ke Thailand untuk menipu orang di sini," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd kepada Bernama dalam temu bual di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Polis Diraja Thai (RTP) yang meminta bantuan Bukit Aman dalam memburu sisa-sisa sindiket penipuan berkaitan dengan penahanan enam suspek itu, yang menurut sumber, dipercayai bersembunyi di beberapa negeri di Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Ketua Biro Polis Pelancong Thai Mej Jen Surachet Hakpal, yang dilantik mengetuai usaha RTP untuk melumpuhkan sindiket penipuan pusat panggilan di Thailand, memberitahu Bernama baru-baru ini bahawa kerjasama daripada polis Malaysia dalam menangani masalah ini adalah penting.

Beliau berkata, usaha pelbagai negara diperlukan untuk membasmi keseluruhan sindiket itu yang beroperasi secara transnasional, merangkumi beberapa negara.

"Sindiket pusat panggilan telah beroperasi (di Thailand) untuk tempoh yang lama dan mempunyai rangkaian di banyak negara. Kami perlu menyelaras dengan polis negara terbabit seperti polis Malaysia," katanya. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com