Terjerat Cinta WeChat, RM40,000 Lesap


BAHANA cinta WeChat, wanita kerugian RM40,000 dan kini hidup dalam ketakutan diugut disebar video dan gambar bogelnya.

Pembantu kerani berasal dari Taman Meru Jaya, Ipoh yang hanya ingin dikenali sebagai Amy, 24, berkata, dia berkenalan dengan seorang yang menggunakan nama Morgan Deavour Andrew, 35, di laman sosial berkenaan September lalu.

Menurutnya, pada awal perkenalan, mereka hanya berbual menggunakan aplikasi berkenaan sebelum menjadi semakin rapat hingga berhubung melalui telefon dan juga WhatsApp.

“Lelaki berkenaan mendakwa berasal dari Amerika Syarikat (AS) dan bekerja sebagai jurutera sivil serta mempunyai ibu yang sakit hepatitis B dan sakit buah pinggang.

“Hubungan kami menjadi semakin rapat selepas tiga bulan berkenalan di alam maya dan pada November lalu, lelaki itu mengatakan dompetnya hilang serta ingin meminjam wang termasuk kononnya untuk rawatan ibunya.

“Saya kemudian beberapa kali memasukkan wang yang kesemuanya berjumlah kira-kira RM24,000 ke dalam akaun bank milik seorang wanita tempatan yang diberikan lelaki berkenaan,” katanya yang ditemui dalam sidang media di Ipoh hari ini.

Amy berkata, lelaki berkenaan turut berjanji ingin membuat pelaburan di Malaysia dan akan membeli rumah atas namanya.

“Pada 18 Januari lalu, lelaki terbabit menghantar mesej mengatakan ditahan pihak Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan memerlukan RM3,500 untuk dibebaskan sebelum meminta lagi RM11,500 kononnya untuk membayar denda bagasi yang dibawa serta cukai.

“Saya kemudian memasukkan wang sebanyak RM15,000 yang dipinjam daripada seorang rakan ke dalam dua akaun bank milik wanita tempatan diberikan lelaki terbabit sebelum bergegas ke KLIA,” katanya.


Menurutnya, sebaik membuat semakan di KLIA dia dimaklumkan tiada kes sedemikian sebelum lelaki berkenaan menghubunginya meminta RM12,000 lagi.

“Saya mengatakan tiada lagi duit, namun lelaki itu menggugut ingin menyebarkan gambar bogel saya.

“Sepanjang berkenalan di alam maya dengan lelaki itu, saya ada menghantar dua gambar dalam keadaan tidak berpakaian kepadanya selain turut membuat panggilan video ketika berada dalam keadaan sama,” katanya.

Amy berkata, selama kira-kira lima bulan berkenalan, dia hanya berbual dalam laman sosial dan melalui telefon serta membuat panggilan video.

“Ketika membuat panggilan video, paparan skrin lelaki terbabit hanya gelap dan saya tidak sangka boleh diperdaya sebegini.

“Saya menyesal dan kini bimbang gambar atau video saya akan tersebar serta harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera berhubung kes ini,” katanya yang turut membuat dua laporan polis pada 13 dan 22 Januari lalu.

Menurutnya, dia juga membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 15 Januari lalu dan berharap kejadian yang didedahkannya itu menjadi iktibar kepada orang lain agar tidak terpedaya dengan taktik penipuan cinta di alam maya atau ‘love scam’.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com