Teh Lemon, Jus Dicampur Dadah Di Pusat Hiburan


PETALING JAYA - Sebuah premis hiburan di Jalan Pudu Ulu, dekat sini, diserbu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Cheras selepas dikesan menjalankan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Dalam serbuan tujuh jam berakhir 9 pagi semalam, seramai 51 pengunjung ditahan termasuk 20 wanita dengan 16 daripada mereka adalah warga Vietnam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata ujian air kencing mendapati 30 positif dadah.

Katanya, menerusi pemeriksaan dalam premis, turut dirampas ialah tiga paket dadah disyaki ecstacy seberat 44.55 gram; tiga paket plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki ketamin seberat 1.6 gram dan satu botol minuman disyaki bercampur methamphetamine.

"Hasil siasatan awal, suspek mendakwa mendapat bekalan dadah daripada pelanggan lain yang datang berhibur di pusat hiburan terbabit.

"Malah, ada juga yang diperoleh dari dalam premis itu sendiri," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dalam pada itu Abdul Ghani menasihati pengunjung supaya tidak membabitkan diri dengan penyalahgunaan dadah ketika berhibur di pusat hiburan.

Beliau turut mengingatkan mereka sentiasa berwaspada dengan minuman yang dihidangkan khususnya daripada rakan sendiri.

"Hasil beberapa serbuan di kawasan Cheras sejak kebelakangan ini mendapati, kebanyakan minuman ringan yang dipesan sudah dicampur dadah," katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 39A (2), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber: BH

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com