Teglia Tak Percaya Arab Saudi Tersingkir


JURULATIH Arab Saudi, Daniel Teglia seperti hilang punca selepas menyaksikan anak buahnya terpaksa pulang awal apabila tewas 0-1 kepada Malaysia pada aksi terakhir Kumpulan C Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun di Stadium Kunshan, semalam.

Biarpun menguasai permainan namun mereka terpaksa akur dengan satu serangan Malaysia yang menghasilkan gol pada minit ke-28 menerusi rembatan Daniel Amier Norhisham.

Teglia berkata, anak buahnya sudah melakukan segala yang termampu namun skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee cukup hebat bertahan.

"Malaysia cuma ada satu peluang dan menjaringkan gol manakala kami gagal menyudahkan banyak peluang yang dicipta. Kami menggunakan pelbagai cara termasuk hantaran jauh tapi tak berhasil.

"Penjaga gol kami lebih banyak menyentuh bola dengan kaki dan bermain hantaran dengan pemain sendiri kerana Malaysia tidak membuat banyak percubaan. Saya mengucapkan tahniah kepada Malaysia dan semoga berjaya," katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.


Arab Saudi hadir dengan reputasi hebat apabila menjadi naib juara edisi pertama 2013, namun mereka tersingkir awal apabila hanya mengutip dua mata hasil seri 2-2 dengan Jordan dan terikat tanpa jaringan menentang Iraq.

Menurut Teglia, anak buahnya tidak memperlekehkan cabaran pemain Malaysia, sebaliknya tidak bernasib baik untuk mencipta sesuatu dalam perlawanan itu.

"Kami tak memperlekehkan Malaysia atau mana-mana pasukan, cuma Malaysia bermain baik, penjaga gol (Haziq Nadzli) dan pemain pertahanan mereka bermain cukup baik," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com