Tarikh PRU-14 Diramal Sebelum Puasa


TARIKH Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak lagi menjadi teka-teki yang sukar dijawab kerana ruang yang ada iaitu antara Mac hingga Mei tahun ini, tidak memberikan julat pilihan yang besar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen.

Namun, sudah ada dalam kalangan mereka yang terbabit termasuk agensi media tertentu, yang mengeluarkan memo memaklumkan cuti kakitangan dibekukan berkuat kuasa serta-merta sehingga selesai PRU-14. Seperti sedia maklum, musim banjir sekarang ini sudah tentu bukan masa sesuai bagi PRU-14 kerana ia akan menjejaskan kadar mereka yang sanggup keluar mengundi, sekali gus mempengaruhi keputusan pilihan raya.

Mengambil iktibar daripada kesilapan lama ketika PRU pada 2008, tidak keterlaluan jika diramalkan kerajaan memerintah tidak akan membubarkan Parlimen dalam tempoh musim perayaan Tahun Baru Cina yang jatuh pada 16 Februari ini sehingga Chap Goh Meh selesai pada 2 Mac.

Rasanya ramai ingat keputusan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, membubarkan Parlimen pada hari ketujuh selepas sambutan Tahun Baru Cina walaupun ternyata adalah pantang bagi masyarakat berkenaan membuat keputusan penting seperti menentukan pucuk pimpinan negara sebelum selesai sambutan Chap Goh Meh.

Selepas itu, umat Islam akan memulakan ibadah puasa pada 17 Mei dan walaupun pernah dilakukan sebelum ini, rasanya kurang sesuai Najib membubarkan Parlimen dalam tempoh umat Islam dituntut mengurangkan dosa dan melebihkan pahala, sesuatu yang sukar dilakukan jika terpaksa berkempen.

Justeru, ruang yang munasabah bagi meramalkan PRU-14 ialah antara 2 Mac hingga 17 Mei ini, tetapi Perdana Menteri masih mempunyai pilihan untuk membiarkan Parlimen terbubar apabila tamat tempohnya pada 24 Jun ini dan seterusnya meletakkan kuasa di tangan beliau untuk merencana tarikh mengadakan PRU dalam tempoh 60 hari.

Tindakan lengah PRU

Bagaimanapun, ramai pemerhati politik berpendapat tindakan melengahkan PRU-14 mungkin memudaratkan kerajaan memerintah kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang diuar-uarkan sebagai satu-satunya calon Perdana Menteri bila gerakan reformasi berlangsung pada 1998, dibebaskan dari penjara 9 Jun ini.

Kewibawaan Anwar dan kebijaksanaannya merencana muslihat politik bukan sesuatu yang asing bagi kita semua. Kalau sudah boleh berperanan sebagai Penasihat PKR di sebalik tirai besi, apatah lagi bila bebas kelak.

Justeru, tidak kurang juga yang kecewa kerana Najib tidak mengadakan PRU-14 dengan mengambil berkat kemenangan besar pilihan raya Sarawak, semangat sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-60 negara atau kemenangan membanggakan negara pada Sukan SEA 2107 sebelum ini.

Namun, ada juga yang berpendapat PRU selepas sambutan Chap Goh Meh mempunyai kelebihan tersendiri kerana rakyat akan mula merasai kesan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dibayar secara berperingkat mulai bulan ini, selain manfaat serta elaun kepada kakitangan awam.

Ada pula yang berkata kini masa sesuai mengadakan PRU-14 kerana senario politik semasa yang menyaksikan konflik kepemimpinan dan agihan kerusi dalam kalangan Pakatan Harapan, dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PKR, DAP serta Parti Amanah Negara (PAN) memberi kelebihan kepada BN.

Apa pun, pelbagai isu seperti keadaan ekonomi semasa, rungutan berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), pemotongan subsidi kerajaan, pengapungan harga minyak, kelemahan ringgit dan kenaikan kos sara hidup yang masih membelenggu negara akan turut menjadi faktor penentu bila PRU-14 diadakan.

Isu nasional seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB) atau kemelut FELDA tidak dijangka mempengaruhi sentimen pengundi yang lebih risau mengenai periuk nasi peribadi berikutan harga hartanah yang melambung, pemberhentian kerja, kekurangan peluang kerja dan peningkatan hutang isi rumah.

Kesimpulannya, munasabah bagi meramalkan PRU-14 akan diadakan dalam tempoh antara 2 Mac hingga 17 Mei, kerana masih ada ruang melakukan pembetulan atau merencana strategi sekiranya ada musibah berlaku.

Ia lebih selamat berbanding jika Perdana Menteri memilih untuk menunggu hingga jangka hayat Parlimen tamat dengan sendirinya pada 24 Jun ini dan tempoh 60 hari (hingga 24 Ogos 2018) untuk menggunakan budi bicara beliau bila mahu membubarkan Parlimen kerana masa terlalu suntuk.

Tambahan pula, sebagai peminat bola sepak, sudah tentu Najib tidak mahu fikirannya terus bercelaru dengan pemilihan Kabinet baharu (andai kata PRU-14 sudah selesai) sehingga tidak dapat menikmati dengan aman siaran bola sepak Piala Dunia 2018 yang akan berlangsung di Russia bermula 14 Jun hingga 15 Julai ini.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com