Tarik Balik Pengguguran Sepak Takraw, Khairy Buat Pusingan U?


PUTRAJAYA - Adakah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan membuat pusingan U dengan menarik semula pengguguran sepak takraw daripada sukan teras sekali gus sukan tradisi itu dipertandingkan semula di Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Ipoh September depan?

Itulah persoalan yang timbul selepas beliau mengadakan pertemuan dengan barisan kepimpinan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) diketuai Datuk Seri Ahmad Ismail di Kementerian Belia dan Sukan, semalam.

Malah, Ahmad yang ditemui selepas pertemuan lebih sejam itu menyifatkan perbincangan dengan Khairy berjalan lancar dan mengucapkan terima kasih kepada menteri kerana sanggup meluangkan masa membincang isu berkenaan.


"Alhamdulillah, perbincangan dengan menteri menampakkan petanda positif dan berjalan dalam suasana cukup harmoni.

"Bagaimanapun, kita serah kepada menteri untuk membuat keputusan muktamad mengenai kedudukan sepak takraw dalam program sukan teras dan sama ada ia dipertandingkan atau tidak di SUKMA 2018," katanya.

Sebelum ini, Khairy mengumumkan sepak takraw adalah antara tiga sukan selain angkat berat dan taekwondo yang digugurkan daripada sukan teras sekali gus tidak akan dipertandingkan di SUKMA 2018.

Antara alasan pengguguran sepak takraw kerana tidak menunjukkan peningkatan prestasi.

Keputusan itu menyebabkan Ahmad bengang dan menuduh pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) bermain politik dan berkomplot cuba menjatuhkannya.

Mengulas lanjut pertemuan itu, Ahmad mengakui inti pati pertemuan itu bagi meminta Khairy memasukkan semula sepak takraw sebagai acara yang dipertandingkan di SUKMA 2018.

"Kami berpandangan harus ada garisan pemisah antara kedudukan sepak takraw sebagai program sukan teras dan SUKMA 2018," katanya

Sementara itu, Khairy yang ditemui di Majlis Pelancaran Inisiatif Bank Pembangunan Malaysia Berhad X-TN50 turut menyifatkan pertemuan itu positif, namun menegaskan keputusan muktamad terletak di tangannya.

"Satu pertemuan yang positif. Pasal keputusan itu, ikut suka hati saya bila mahu umumkan," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com