Tanam Padi Skala Komersial


ALOR SETAR - Seramai 911 peladang muda di bawah bimbingan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) menerima insentif Estet Padi NKEA EPP 10 berjumlah RM2.39 juta dengan keluasan 1,976.18 hektar bagi perusahaan industri padi musim pertama, tahun ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, hasil daripada bancian Mada, seramai 6,184 peladang muda berumur bawah 40 tahun bergiat aktif di dalam Kawasan Muda.

"Ia petunjuk positif kebangkitan anak muda dalam menyahut saranan dan cabaran kementerian menceburi dalam bidang pertanian kerana sebelum ini kebanyakan yang terlibat dalam pertanian hanyalah golongan purata berumur 62 tahun," katanya ketika ditemui pada program santai bersama 300 peladang muda yang turut dihadiri ahli Kelab Jelapang Padi serta penduduk kampung di sini, Sabtu lalu.

Menurutnya, pihak kementerian juga menyediakan pelbagai peluang dan kemudahan bagi menarik minat golongan muda untuk menceburi bidang pertanian.

“Projek Estet Padi NKEA EPP 10 yang memberi fokus dalam pengukuhan produktiviti tanaman padi di Kawasan Muda dengan sasaran keluasan 50,000 hektar menjelang 2020 bertujuan menggalakkan penanaman padi berskala komersial.

“Selain itu, sasaran purata hasil bersih lapan tan sehektar selain meningkatkan kepadatan infrastruktur ladang daripada 18 meter sehektar kepada 30 meter sehektar dan meningkatkan penglibatan peladang dalam keseluruhan rantaian nilai," katanya.

Justeru katanya, kementerian turut menyasarkan golongan muda yang melibatkan diri dalam sektor agromakanan memperoleh pendapatan sehingga RM5,000 sebulan melalui pelbagai program seperti Unit Agropreneur Muda, Kumpulan Peladang Muda dan My Agrosis.

Pada majlis tersebut juga, sebagai tanda sokongan kerajaan negeri ke arah keusahawanan, Ahmad Shabery mengumumkan dana RM50,000 untuk aktiviti peladang muda Mada.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com