Tak Perlu Pemantau PRU Antarabangsa Di Malaysia - Mahdzir Khalid


ALOR SETAR – Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan Malaysia tidak memerlukan pemantau Pilihan Raya Umum (PRU) antarabangsa.

Tegasnya, setelah sekian lama standard sistem PRU diamalkan di Malaysia dan acapkali digunapakai hampir setanding seperti di negara luar malahan turut mempunyai Standard Operasi Prosedur (SOP) yang ketat.

“Kita buat PRU di negara ini semua ikut SOP yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jadi tak perlu siapa-siapa nak jenguk (pantau PRU) sebab semua dah ikut peraturan.

"Masa Tun Dr Mahathir Mohamad jadi perdana menteri dahulu semua PRU dia kata telus, ini bila jadi pembangkang dia (Dr Mahathir) pula minta orang lain tengok (pantau PRU) seolah dia tidak percaya sistem itu,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan Berkata kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Muafakat Komuniti dan Pemimpin Bersama Rakyat di Felda Lubuk Merbau di Padang Terap, kelmarin.

Mahdzir berkata demikian mengulas laporan media mengenai kenyataan Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Mohamad Sabu yang menggesa duta negara-negara Eropah ke Malaysia untuk meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan PRU yang adil.

Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) turut dilapor menggesa negara-negara Eropah berkenaan memohon kepada kerajaan Malaysia untuk membenarkan mereka menghantar pemantau PRU antarabangsa.

Ia susulan pertemuan antara pemimpin Pakatan Harapan diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad bersama 16 duta negara-negara Kesatuan Eropah (EU) baru-baru ini di ibu negara. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com