'Taja Bukan Jalan Pintas Dapat Projek' - Ahmad Bashah


ALOR SETAR - Tiada sebarang jaminan diberikan kepada mana-mana syarikat penaja atau pelabur di Kedah untuk mendapat keutamaan dalam pengagihan projek di negeri itu.

Menurut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, menegaskan setiap pelabur akan dinilai secara telus mengikut kertas kerja dibentangkan dan kerajaan negeri mengamalkan dasar terbuka kepada pelabur yang layak serta bijak mengambil peluang yang ada.

Beliau mengambil contoh ECK Development, yang kini menaja Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), berkata, itu sebahagian daripada projek tanggungjawab sosial korporat pemaju hartanah terbabit kepada kerajaan negeri.

"Tak semestinya semua projek di negeri ini syarikat itu akan dapat sebagai habuan menaja KFA.

"Kita buka (peluang dapatkan projek) kepada sesiapa sahaja dan jika syarikat itu baik dan berpotensi, maka kita boleh serahkan projek kepada syarikat itu berdasarkan merit kelayakan," katanya kepada pemberita, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu yang disebar pihak tertentu melalui laman sosial mengenai syarikat pemaju hartanah tempatan, ECK Development, yang didakwa meminta tanah dan projek sebagai habuan menaja KFA.

Beliau yang juga Presiden KFA, meminta rakyat tidak mudah mempercayai fitnah yang disebarkan oleh pihak berkepentingan terutama apabila hampir dengan pilihan raya umum (PRU).

Terdahulu, Ahmad Bashah turut menyampaikan amanat kepada penjawat awam negeri Kedah pada perhimpunan bulanan yang diadakan di dataran Wisma Darul Aman, di sini.

Dalam ucapannya, beliau menekankan supaya kakitangan kerajaan negeri tidak terbabit dalam penyebaran maklumat yang memfitnah kerajaan.

"Kalau saya dapat mesej viral sebegitu, saya akan padam sahaja..tak perlu tambah dosa dan panjangkan kepada orang lain kerana ia tidak memberi sebarang kebaikan.

"Ditambah pula fitnah itu menggunakan perkataan yang kurang sopan dan maki hamun...itu bukan budaya kita dan dilarang dalam agama," katanya memetik BH Online. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com