Suntikan Tonik Marcote Buat Pemain Kedah


ALOR SETAR - Skuad Lang Merah menanti dengan penuh debaran menjelang aksi pembukaan Liga Super 2018 merebut Piala Sumbangsih berbekalkan suntikan tonik Ramon Marcote yang kini memikul tanggungjawab selaku pengendali Kedah.

Bahkan pemain-pemain Kedah juga bakal dibantu dengan sentuhan dan perkembangan positif pemain import skuad berkenaan.

Secara jelas Marcote begitu mengharapkan kudrat dua pemain import baharu mampu mencetuskan impak besar kepada skuad Helang Merah terutama aksi pembuka tirai merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Larkin, pada 3 Februari ini.

Perkembangan menakjubkan Marcote apabila pemain kelahiran Sepanyol yang memiliki kerakyatan Filipina, Alvaro Silva dilihat bersedia lebih cepat daripada jangkaan, kerana pengalamannya beraksi di Filipina, liga Vietnam dan Korea Selatan sebelum ini.


"Ini membuatkan proses penyesuaiannya dengan keadaan di Malaysia lebih cepat daripada jangkaan kita kerana pengalamannya dan sudah beraksi di pentas Asean.

"Pablo Pallares juga semakin baik walaupun pertama kali beraksi di luar Sepanyol. Dia berdepan liga baharu, bahasa, rakan sepasukan, padang dan cuaca yang berbeza. Pastinya kita tahu keadaan cuaca panas di sini yang berbeza juga mempengaruhi penyesuaian dan dia perlukan masa," ujar Marcote.

Menilai melalui aksi pramusim di Surabaya Pallares, pemain ini menunjukkan kemampuan bernas serta memiliki banyak peluang jaringan serta beraksi penuh semangat sepanjang tempoh 180 minit.

Kelebihan itu bakal dibantu dua pemain tengah senior iaitu Liridon Krasniqi dan Sandro Da Silva yang masih kekal bersama Helang Merah.

Kini, Marcote hanya perlu menyuntikkan dan mengadunkan tonik kepada pemain import itu untuk disesuaikan dengan pemain tempatan terutama pemain senior seperti Baddrol Bakhtiar, Khairul Helmi dan Syazwan Zainon.

Dengan kombinasi semua pemain tempatan dan import musim ini seperti Liridon, Alvaro Silva, Pallares serta Sandro yang dijangka pulih daripada kecederaan dalam masa terdekat, Marcote dilihat mampu menjadikan Kedah sebagai antara pasukan terkuat dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), musim ini.


"Kita kini berada pada landasan yang baik dalam mempersiapkan pasukan. Saya juga berharap pemain mendapat motivasi terbaik menjelang aksi Piala Sumbangsih.

"Saya mahu cuba yang terbaik walaupun saya tak boleh menjanjikan sepenuhnya, tapi saya akan cuba sebaik mungkin, mengikut idea yang diterapkan dan wujudkan suasana yang baik untuk tingkatkan keyakinan pemain," katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com