Suami Isteri Penghidap Kanser Kesempitan Hidup


KUALA TERENGGANU - Berat mata memandang lagi berat bahu memikul, itulah gambaran kehidupan pasangan suami isteri yang semakin sempit sejak mereka disahkan menghidap kanser.

Mohd Badrul Hisyam Ngah, 40, dari Kampung Pengadang Baru, di sini, disahkan menghidap kanser darah tahap empat (Diffused large b-cell lymphoma), sejak lima tahun lalu.

Selepas dua tahun menerima berita sedih itu, isterinya, Norhasnita Kamaruddin, 37, pula disahkan penghidap kanser payudara tahap tiga.

Lebih memilukan lagi apabila dua daripada tiga anaknya iaitu Muhammad Syafiq Adha, 17, dan Muhammad Hafizul hakim, 14, juga disyaki menghidap penyakit sama apabila mengalami gejala bengkak di kelenjar.

Walaupun mereka masih menunggu pengesahan doktor berkenaan status kesihatan anaknya itu, gejala yang dialami anak sulung dan kedua merisaukan pasangan berkenaan.

Norhasnita berkata, sejak lima tahun lalu, dia mula bekerja sebagai pembantu di kedai makan dengan pendapatan RM30 sehari selepas suami tidak mampu lagi bekerja.

"Saya dan suami ada menerima wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 seorang, namun ia tidak mampu untuk menampung kos sara hidup, rawatan serta menanggung tiga anak yang masih bersekolah.

"Walaupun keadaan saya begini, Allah memberi kekuatan untuk terus bekerja dan menyara kehidupan kami sekeluarga," katanya yang tinggal di rumah pusaka arwah neneknya.

Norhasnita berkata, walaupun tahap kesihatannya tidak menentu, dia tetap menguatkan semangat untuk bekerja bagi meneruskan kehidupan sekeluarga.

Malah, ibu cekal ini juga berhasrat menjalankan perniagaan sendiri dengan menjual makanan menggunakan motosikal roda tiga bagi menampung kehidupan mereka.

"Saya memang minat berniaga, tetapi tidak mempunyai modal yang mencukupi untuk memulakan perniagaan itu. Apa yang saya lakukan kini adalah mengumpul modal untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan bagi meneruskan kehidupan kami," katanya.

Mohd Badrul Hisyam pula berkata, dia mula risau kerana perlu menjalani rawatan 'pet-scan' di ibu negara Februari ini sedangkan wang perbelanjaan ke sana masih belum mencukupi.

"Saya disahkan menghidap kanser darah tahap tiga, lima tahun lalu, namun tidak lama kemudian doktor mengesah penyakit saya sudah merebak ke peringkat akhir.

"Alhamdulillah, kami menerima wang bantuan Tabung Darul Iman sebanyak RM800 pada tahun lalu, dan dengan duit itulah akan digunakan untuk membeli ubat dan perbelanjaan kami.

"Malah, setiap 21 hari saya perlu menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Kubang Kerian, Kelantan dan dengan duit bantuan itulah saya gunakan untuk perbelanjaan.

"Malah, saya dan isteri terpaksa berkongsi ubat yang dibeli dengan harga RM250 sekotak, itupun kalau kami ada duit lebih, barulah kami beli ubat," katanya.

Jika ada pihak yang ingin menyampaikan sumbangan untuk membantu keluarga ini bolehlah menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Islam 13017020870312, milik Norhasnita Kamaruddin atau hubungi 013-9519579.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com