Suami Isteri Dari Jerlun Terpaksa Tinggal Dalam Rumah Daif


ALOR SETAR - Sepasang suami isteri menjalani kehidupan serba kekurangan dalam sebuah rumah yang daif bersama adik dan datuk mereka berusia 82 tahun di Kampung Tempayan Pecah, Mukim Jerlun, di sini.

Menurut Norhapizah Azmi, 37, berkata rumah tersebut adalah peninggalan nenek suaminya dan mula menetap di situ sejak 16 tahun yang lalu setelah mereka berkahwin.

“Setiap kali hujan, saya terpaksa tadah ayaq hujan dengan besen sebab bumbung rumah banyak yang berlubang  dan bocor.

“Bilik tidur saya pun basah sebab tempias ayaq hujan, dekat tingkap tu pun kami hadang dengan kain kerpan saja,” katanya ketika ditemui di rumahnya, pada Jumaat.

Katanya, pendapatan suaminya yang tidak menentu menyebabkan mereka tidak berkemampuan untuk membaiki bahagian rumah yang bocor dan rosak.

“Suami (Hassan Abdullah, 39) hanya ambil upah bawa mesin padi saja, semusim dapat dalam RM5,000, adik lelaki saya selalu ikut tolong suami.

“Bila habis musim mengerat kami tahan taut dapat ikan haruan, pi tolak kat penjual di market (pasar),” katanya memetik Sinar Online.

Tambahnya, dua tahun lalu bumbung rumah mereka pernah dibawa angin akibat ribut yang melanda.

“Masa tu kami dapat bantuan daripada pejabat Umno kawasan, tapi sekarang bumbung zink tu pun dah tak elok, kalau hujan ayaq akan tempias masuk,”ujarnya.

Jelas Norhapizah, datuknya yang uzur akibat sakit tua juga perlu belanja yang tinggi untuk lampin pakai buang.

“Pampers sekali beli tahan seminggu sahaja, bilik ayaq kami pula kat luar, kalau tokwan tak larat suami la yang angkat mandi semua,”katanya yang tidak bekerja kerana perlu menguruskan datuknya.

Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Bantuan Kebajikan Masyarakat Miskin Negeri Kedah, (PBKMMNK) A.Sundra lingam berkata, pihaknya membantu Norhapizah mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Sebelum ini dia ada hubungi saya dan maklumkan mengenai rumahnya yang bocor dan memerlukan bantuan kewangan.

“Jadi untuk kes tok wan, Mansoff Senapi saya dah ketengahkan kepada JKM, dan mereka telah meluluskan Bantuan Orang Tua sebanyak RM350 mulai bulan ini.

“Manakala untuk bantuan baik pulih rumahnya, kami akan cuba merujuk kepada beberapa pihak untuk tindakan selanjutnya,”katanya.

Bagi mana-mana pihak yang ingin membantu Norhapizah sekeluarga boleh menyalurkan sumbangan ke  akaun Bank Simpanan Nasional 02134-29-00011003-2 atas nama Hassan Abdullah atau hubungi mereka di talian 017 5992847. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com