Suami Isteri Dari Hutan Kampung Mohon Ibu Kandung Tampil Bantu Proses Ambil Anak Angkat


ALOR SETAR - Sepasang suami isteri dari Taman Mustika, Hutan Kampung di sini memohon ibu kandung kepada seorang remaja perempuan tampil bagi membantu proses pengambilan anak angkat mereka dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut Nor Azmizal Azid, 32, berkata, ibu kandung kepada anak angkatnya, Putri Nabila Abdullah, 13, merupakan warga Indonesia yang dikenali dengan nama Lena Suartono, 34.

Katanya, selepas melahirkan anak itu di Hospital Daerah Besut, bayi tersebut telah diserahkan kepada ibunya untuk dijaga.

"Ibu kandung Putri Nabila janji akan ambil balik. Tapi lepas itu memang tak datang dah, ibu sayalah yang jaga sampailah kami suami isteri pula ambil alih tugas menjaga sampai hari ini.

“Sehingga kini kami langsung tak dapat hubungi ibu kandung Putri Nabila bagi mendapatkan sebarang dokumen peribadi,” katanya memetik Sinar Online.

Jelas Nor Azmizal, dia dan suaminya sememangnya mahu mencari ibu kandung Putri Nabila supaya proses pengambilan anak angkat dapat dilakukan secepat mungkin.

“Kami kasihan dengan nasib Putri Nabila sebab tak dapat bersekolah macam rakannya yang lain. Kehidupan dia pun tak macam orang lain, nak pergi jauh pun tak boleh sebab dokumen diri yang tak lengkap.

"Saya pun terpaksa ajar dia dekat rumah. Sekarang ini pun dia dah pandai membaca dan mengira," ujarnya.

Tambahnya, masalah itu pernah dimaklumkan kepada JKM bagi memohon hak penjagaan.

"Bagaimanapun pihak berkenaan mengarahkan supaya dapat mencari serta mengesan ibu bapanya terlebih dahulu," katanya.

Bagi remaja berkenaan, Putri Nabila berkata, dia sangat berharap ibu bapanya dapat datang supaya kerja memproses pengambilan anak angkat dapat dilakukan.

Kata Putri Nabila, walaupun hanya ada sijil kelahiran kerakyatan asing belum cukup untuk dirinya menjalani kehidupan yang lebih sempurna seperti rakannya yang lain.

“Saya juga mahu pergi ke sekolah seperti rakan-rakan dan mahu belajar serta bekerja untuk masa hadapan.

"Saya harap segala masalah yang saya hadapi hari ini dapat diselesaikan melalui JKM,” katanya. - Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com