SPRM Kedah Mahu Pemandu Teksi Elak Terjebak Rasuah


ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah mengambil inisiatif turun padang bagi mengajak pemandu teksi di negeri ini agar menjadi Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah).

Ketua Unit Pendidikan Masyarakat SPRM Kedah, Ramley Supaat berkata, langkah tersebut sebagai usaha menjadikan pemandu sebagai mata dan telinga SPRM bagi memerangi jenayah rasuah secara berperingkat-peringkat.

"Bagi permulaan tahun ini, SPRM Kedah memfokuskan kepada pemandu teksi di negeri ini untuk dijadikan sahabat Gerah dalam menyalurkan maklumat berkaitan dengan penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah.

"Program ini diadakan serentak hari ini (semalam) oleh SPRM di Ibu Pejabat Alor Setar, Cawangan SPRM di Sungai Petani dan beberapa hari lagi di Langkawi,"katanya, selepas borang keadilan Gerah diedarkan di Stesen Teksi Shahab Perdana, di sini, petang Isnin lalu.

Menurutnya, selain menyalurkan maklumat, pemandu teksi juga turut berpeluang meluahkan masalah-masalah mereka berkait tugas mereka.

"Contohnya, masalah pembaharuan lesen atau masalah mengakibatkan agensi kerajaan yang lain seperti Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sebagainya.

"Pemandu teksi adalah individu mendapat maklumat daripada ramai pihak ataupun mendengar daripada luahan atau rintihan orang awam,"katanya.

Sehingga kini, lebih 3,000 orang telah berdaftar menjadi ahli Gerah di seluruh negeri ini sejak inisiatif dipelopori oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifkli Ahmad, tahun lalu.

"Bagi pemberi maklumat yang berkualiti yang boleh menyebabkan seseorang yang disasarkan tertangkap dan disabitkan kesalahan, akan diberi ganjaran istimewa," katanya.

"Kelebihan dan keistimewaan menjadi sahabat Gerah ini, ahli layak mendapatkan kad potongan diskaun di beberapa premis perniagaan. Contohnya, 10 peratus diskaun sekiranya membeli minuman di Starbuck dan lain-lain lagi,"katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com