Skim Pelaburan Kucing: PPIM Mahu Tindakan Undang-Undang


KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu sebuah syarikat yang menganjurkan program skim pembiakan dan penempatan kucing dikenakan tindakan undang-undang selepas didakwa menipu dan menyebabkan kerugian besar kepada pesertanya.

Keputusan ini dibuat selepas tiada tindakan daripada pemilik syarikat itu untuk melangsaikan bayaran ganti rugi kepada peserta program yang mengadu kepada PPIM.

Antara bentuk tindakan itu termasuk bekerjasama dengan polis untuk menyiasat program berkenaan dan membuat tuntutan sivil kepada pemiliknya.

Pengerusi Biro Undang-Undang PPIM, Datuk Hishamuddin Hashim, berkata menerusi rundingan tiga penjuru PPIM, pengadu dan pemilik syarikat pada 16 Disember lalu bersetuju akan membayar ganti rugi kepada pengadu.

"Namun sejak pertemuan itu, pemilik syarikat berkenaan gagal dihubungi untuk mendapatkan perkembangan pembayaran berkenaan,

"Beliau juga tidak cuba untuk berhubung dengan PPIM. Kita berasakan beliau tidak berminat untuk menyelesaikan masalah ini," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Rundingan tiga penjuru berkenaan turut disiarkan secara langsung (live) di Facebook dan viral di Youtube.

Difahamkan program mirip sebuah pelaburan yang menawarkan peluang menjana pendapatan dengan menjual anak kucing itu mula mendapat perhatian umum selepas tular di sosial media beberapa bulan lalu.

Peserta program berkenaan mendakwa ditipu selepas tidak mendapat keuntungan penjualan anak kucing, selain berlakunya pengabaian kebajikan haiwan berkenaan hingga dijangkiti penyakit dan mati.

Hishamuddin berkata, pengadu mendakwa tiada veterinar bertauliah di syarikat berkenaan untuk merawat dan melakukan pembedahan di kedai haiwan kesayangan itu.

"PPIM sudah merujuk perkara itu kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar kerana ada pengadu mendakwa aktiviti rawatan dan pembedahan haiwan berkenaan tidak dilakukan oleh veterinar.

"Pengadu mengesyaki banyak kucing sakit dan mati akibat diabaikan oleh pemilik kedai haiwan berkenaan," katanya.

Katanya, PPIM menerima kira-kira 85 aduan dengan anggaran nilai kerugian kasar mencecah hampir RM2 juta.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com