Siti Hasmah Tidak Disoal Siasat – Polis


KUALA LUMPUR – Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali tidak disoal siasat tetapi diambil keterangan secara profesional oleh polis pada Jumaat lepas dengan menghormati kedudukan serta statusnya, berhubung perhimpunan yang dianjurkan tanpa notis pada September 2017.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd menarik perhatian bahawa Dr Siti Hasmah sendiri telah membuat kenyataan umum bahawa beliau tidak berhadapan dengan sebarang bentuk intimidasi sepanjang kenyataannya dirakam.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kenyataan-kenyataan berbaur hasutan yang dikeluarkan pihak-pihak yang cuba menangguk di air keruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Siti Hasmah sendiri, katanya, bersedia memberikan kerjasama dalam melengkapkan siasatan polis.

Wan Ahmad Najmuddin menegaskan ini merupakan sebahagian daripada proses siasatan polis dan tidak melibatkan sebarang bentuk tekanan daripada mana-mana pihak.

Pada 10 Sept tahun lepas, sekumpulan aktivis wanita dilapor menganjurkan perhimpunan dikenali sebagai ‘Wanita Bantah Politik Toksik’ di ibu negara. Dr Siti Hasmah dilapor memberi ucapan ringkas pada acara itu. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com