Singapura Haram E-Rokok, Shisha, Tembakau Kunyah


SINGAPURA – Bermula 1 Februari depan, penduduk Singapura diharamkan daripada membeli serta memiliki segala produk berkaitan tembakau termasuk rokok elektrik, shisha dan tembakau kunyah.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), larangan baharu terhadap produk “tembakau baru dan tiruan” merupakan sebahagian daripada fasa pertama di bawah pindaan ke atas Akta Tembakau (Kawalan Pengiklanan dan Penjualan).

Undang-undang tersebut diluluskan di Parlimen pada November tahun lalu. Di bawah perubahan itu, sesiapa yang didapati memiliki, membeli atau menggunakan produk-produk itu boleh didenda sehingga S$2,000 (RM5,925).

Ketika ini, hanya mereka yang mengimport, menjual atau mengedarkan produk-produk tersebut dihukum. MOH, menyeru “orang ramai supaya segera buang sebarang produk tembakau yang dilarang itu jika masih disimpan”.

Mereka yang ditangkap kerana mengimport, menjual atau mengedarkan produk itu boleh dikenakan denda sehingga S$10,000 (RM29,626) dan dihukum penjara sehingga enam bulan bagi rekod sabitan kesalahan kali pertama.

Namun jika pesalah berulang pula disabitkan mahkamah boleh didenda sehingga S$20,000 (RM59,253) dan dijel sehingga setahun, kata kenyataan MOH itu yang dipetik stesen penyiaran milik pemerintah Channel NewsAsia.

Usia minimum perokok untuk membeli, menggunakan, memiliki, menjual dan membekalkan produk-produk tembakau di seluruh Singapura juga dinaikkan daripada 18 tahun kepada 21 tahun secara tahap berperingkat.

Ia akan dinaikkan daripada 18 tahun kepada 19 tahun pada 1 Januari 2019 manakala mulai 1 Januari 2020, usia perokok dinaikkan kepada 20 tahun dan selanjutnya lagi ditingkatkan kepada 21 tahun pada 1 Januari 2021.

Menurut kenyataan MOH lagi, perubahan tegas tersebut bertujuan untuk “menyekat lagi pendedahan golongan belia tempatan dan mencegah mereka daripada cuba hendak belajar merokok sebelum mencecah usia 21 tahun”.

Langkah keras itu juga ujar MOH sebagai mahu “melindungi tahap kesihatan penduduk Singapura lebih baik daripada bahaya ancaman pelbagai produk tembakau tiruan dan yang baru muncul”. – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com