Siapa "Dulu Tembolok Penuh, Sekarang Tak Cukup Dedak" Yang PAS Maksudkan?


PAS menerima segala tuduhan terhadapnya oleh pemimpin Pakatan Harapan terutamanya Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai satu lagi suntikan semangat dan tenaga tambahan. 

"Semua tuduhan itu PAS anggap sebagai 'multivitamin' untuk penyokong parti terus bekerja dan memperjuangkan Islam serta menyelamatkan negara, " kata Naib Presiden PAS, Idris Ahmad.

"Hari ini, ada orang menuduh PAS sebagai pemecah belah parti pembangkang. Sebelumnya dituduh PAS "tongkat" UMNO, PAS hendak kerjasama dengan UUMO.

"Tuduhan lain kononnya PAS dapat RM90 juta, PAS parti pengacau.

"Macam-macam lagi tuduhan terhadap PAS yang dihamburkan oleh pemimpin mereka dan ditulis oleh cyber trooper mereka" kata Idris yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang dalam satu kenyataannya yang diterbitkan dalam Harakahdaily semalam.

Beliau menyifatkan segala tuduhan liar itu membuktikan petanda pilihan raya umum sudah dekat.

Namun, kata Idris, PAS akan terus mara atas landasan perjuangannya. Beliau menepis tanggapan bahawa tuduhan pakatan pembangkang itu akan melemahkan partinya. 

"Mereka hendak mematikan perjuangan PAS, insya-Allah tidak mampu....selagi PAS tidak meninggalkan dasar Islam," katanya.

Menurut beliau perjuangan PAS bukan untuk di dunia semata tetapi  untuk bekalan hari akhirat.
Beliau juga menyifatkan tuduh parti-parti baharu yang jadi pembangkang itu sebagai pelik.

"PAS sudah lama melawan BN, dahulunya parti Perikatan. Memang PAS belum menang di peringkat negara kerana PAS tidak mahu menggadai prinsip perjuangan. 

"Kalau hendak menang cepat, tanpa mengira prinsip Islam, sudah lama PAS menang. Kalau PAS hendak cepat menang mudah saja," kata Idris.

Menurutnya, PAS boleh menang jika setuju dengan pesta arak, setuju dengan LGBT, setuju dengan puak atheis, setuju dengan golongan anti hadis, setuju dengan orang yang hina hukum Islam setuju dengan program maksiat, kata Idris.

Beliau juga mendakwa mereka yang baru hendak lawan UMNO itu disebabkan "tembolok mereka sudah penuh", harta negara habis difaraid atau dibahagi-bahagikan di kalangan suku sakat. 

"Sekarang mereka mengamuk fasal tidak cukup 'dedak'. Bukan kerana dasar... bukan kerana negara dan rakyat, sebaliknya gara-gara hendakkan perhatian dan hilang kasih sayang," ujarnya sinis. 

Semalam Dr. Mahathir menyifatkan PAS seperti Mat Jenin, berangan-angan hendak memerintah negara dengan bertanding 130 daripada 222 kerusi Parlimen pada pilihnraya umum akan datang.  

Pakatan Harapan Kedah pula meramalkan PAS hanya akan menang lima kerusi Parlimen sahaja daripada 130 kerusi yang ditandingi memandangkan parti itu tidak mahu kerjasama dengan gabungan pembangkang.

PAN dan PKR pula terus-menerus menyerang PAS dan Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang sementara DAP hanya mampu 'tersenyum bangga'. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com