Sekadar Nasihat, Hafiz Tiada Niat ‘Hentam’ Faiz Roslan


TERDAHULU penyanyi, Hafiz Hamidun pernah menyuarakan pendapat berbentuk ‘nasihat’ terhadap seorang Instafamous, Faiz Roslan menerusi Twitter miliknya berhubung isu penampilan.

Nasihat lembut itu bagaimanapun menerima pelbagai cemuhan dan kecaman hebat daripada masyarakat umum. Susulan perkara itu, pelantun lagu Jawapan Rindu ini tampil menjelaskan tindakannya itu.

Ujarnya ia sama sekali tiada niat untuk menghentam mahupun menjatuhkan maruah Faiz memandangkan dia juga salah seorang pengikut Instafamous itu di Instagram.

“Apa yang saya luahkan di Twitter adalah pandangan peribadi sama seperti orang lain yang meluahkan pendapat mereka. Apabila ada yang membalas dengan komen negatif, saya tak boleh halang mereka kerana itulah media sosial.

“Apa yang saya tulis itu adalah sebagai peringatan kepada diri sendiri dan semua yang baca. Ia adalah kata nasihat dan kalau sudah namanya nasihat, ia adalah benda baik,” katanya dipetik Harian Metro.

Kata Hafiz lagi, dia sudah sedia maklum mengenai fenomena Instafamous yang gemar memperagakan pakaian wanita sebagai karakter di media sosial.


Bagaimanapun, dia berharap agar fenomena itu tidak dibawa ke dunia nyata kerana masyarakat kita ada banyak sensitiviti.

“Saya juga yakin Faiz cukup matang untuk menerima nasihat memandangkan dia juga kini menjadi sebahagian daripada industri.

“Rasanya dia boleh terima sekiranya ada yang memberi nasihat. Saya pun boleh terima setiap kali ada yang memberi nasihat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hafiz turut mengakui bahawa terdapat juga segelintir netizen yang bertanya mengapa nasihat itu tidak dibuat secara peribadi.

“Bagi saya ini media sosial dan pengguna Twitter tahu bagaimana lapangan ini digunakan. Kerana itulah saya membuka Twitter saya secara umum atau ‘public’.

“Kalau nak nasihat secara ‘private’, baik jangan gunakan Twitter, tapi guna WhatsApp,” kata Hafiz.

Pun begitu, anak jati kelahiran Perak ini tetap mengharapkan agar netizen mampu memandang nasihat dan perkongsian itu daripada sudut yang positif. –Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com