Saya Peminat Daren - Norza


KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria mengakui beliau adalah peminat Liew Daren.

Ketika mengulas mengenai Masters Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam, Norza menjelaskan badan induk itu sentiasa terbuka untuk menerima pemain profesional menjadi sebahagian daripada skuad pada acara berpasukan seperti Kejohanan Badminton Asia bulan depan dan Piala Thomas di Bangkok, Thailand pada Mei nanti.

Daren, yang meninggalkan BAM pada tahun 2016, untuk bergerak secara profesional mempamerkan prestasi baik apabila mara ke separuh akhir dalam dua kejohanan termasuk Masters Thailand dan Masters Malaysia tahun ini.

Ia menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan Daren atau pemain muda Leong Jun Hao akan menggantikan pemain seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Soong Joo Ven, yang bergelut untuk mencari kedudukan terbaik mereka, dalam acara perseorangan lelaki dan berpasukan.

Namun, Norza menegaskan, keputusan muktamad mengenai senarai skuad untuk Kejohanan Asia di Alor Setar - yang juga menawarkan tiket kelayakan ke Piala Thomas - terletak di tangan ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek.

"Sebagai presiden dan bukan individu dari bahagian teknikal, saya perlu katakan yang saya seorang peminat Liew Daren.

""Ramai yang bercakap mengenai dia dan saya fikir BAM sentiasa terbuka untuk memiliki pemain bebas bersama kami dalam acara berpasukan.

"Bagaimanapun, ia memerlukan penilaian daripada ketua jurulatih (Misbun). Datuk Ng Chin Chai (Setiausaha Kehormat BAM) juga akan berbincang dengan Misbun.

"Seperti yang kita semua tahu, cabaran bermain dalam satu pasukan di kejohanan seperti Piala Thomas adalah berbeza, saya tahu, kerana saya berada di sana bersama Daren pada Piala Thomas 2014 (New Delhi)," kata Norza.

Di India, Daren beraksi sebagai perseorangan ketiga untuk pasukan negara ketika tewas 3-2 kepada Jepun di pentas akhir.

Kejohanan Berpasukan Badminton Asia akan berlangsung di Alor Setar pada 6 hingga 11 Februari ini.

"Bagi saya, umur adalah angka. Jika pemain muda perlukan pendedahan, kami akan hantar mereka untuk dapatkan pendedahan. Dalam kes Daren, dia berusia 31 tahun dan masih mampu beraksi dengan baik.

"Apapun saya serahkan keputusan kepada jurulatih. Jika ada apa-apa perubahan, saya cadangkan kita melakukannya secepat mungkin kerana kita mahukan pasukan yang mantap."

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com