Sarang Tebuan Sebesar Bola Sepak Ditemukan Dalam Laci Almari


KUALA PILAH - Tanda tanya mengenai kemunculan banyak tebuan di rumah yang didiami sebuah keluarga di Kampung Dingkir Inas, Johol di sini sejak sebulan lalu akhirnya terjawab.

Ini berikutan penghuni rumah berkenaan yang terdiri daripada 13 anggota keluarga menemukan sarang tebuan sebesar sebiji bola sepak di dalam salah sebuah laci almari pakaian mereka pagi kelmarin.

Salah seorang penghuni rumah itu, Nurul Huda Jantan, 34, berkata, sejak sebulan lalu keluarganya kerap melihat tebuan berterbangan di dalam rumah namun tidak menyangka serangga berbisa itu membuat sarang di dalam kediaman mereka.

“Ibu saya berusia 70 tahun juga pernah disengat dua kali ketika menghalau serangga itu beberapa hari lalu. Bagaimanapun, kami terkejut apabila mendapati sebuah sarang tebuan yang besar di dalam laci,” katanya di sini.

Sementara itu, Ketua Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Pilah, Majeran Lon berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan sarang tebuan itu pada pukul 10.54 pagi kelmarin.

Katanya, dia bersama dua anggota pergi ke lokasi berkenaan pada pukul 7.36 malam semalam dan menemukan sarang tebuan tanah di dalam almari kayu di rumah tersebut.

Ujarnya, anggota APM mengambil masa selama 20 minit untuk memusnahkan sarang tebuan tersebut dengan menggunakan dua botol racun serangga.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com