Saran Pemandu Teksi Carum PERKESO


IPOH - Dianggarkan hanya 300 pemandu teksi di Perak mencarum PERKESO.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Integrasi Nasional negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata jumlah itu terlalu sedikit berbanding 1,900 yang berdaftar sebagai pemandu teksi di negeri itu.

"Skim ini memberi perlindungan kepada pemandu teksi mahupun kereta sewa dan perkhidmatan setaranya yang beri jaminan keselamatan sosial yang amat baik.

"PERKESO akan menguruskan segalanya, pencarum bakal menikmati pelbagai faedah termasuk perubatan, hilang upaya sementara, faedah pemulihan dan lain-lain lagi termasuk orang tanggungannya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan cek kepada pemandu teksi, Mohamad Helmi Hashim, 46, di kediamannya di Taman Chemor Mesra di sini kelmarin.

Mohamad Helmi patah tiga tulang rusuk selepas teksi dipandunya terbabas di susur keluar Tol Jelapang di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) pada 9 Disember lalu.

Beliau yang juga Setiausaha Persatuan Pemandu Teksi Aman Jaya telah mencarum pada 24 Ogos 2017, hilang upaya sementara dan masih menerima rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Keselamatan Sosial Pekerjaan PERKESO pusat, Ismail Abi Hashim berkata, pihaknya akan meningatkan usaha untuk menggalakkan pemandu teksi seluruh negara untuk mencarum.

"PERKESO akan adakan kerjasama dengan persatuan pemandu teksi setiap negeri malah kerjasama erat dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi memastikan semuanya mendapatkan perlindungan sewajarnya.

"Di bawah SPAD, pemandu teksi dan pengendali perkhidmatan e-hailing yang berdaftar 10,000 orang. Dalam tempoh enam bulan tahun lalu seramai 2,400 sahaja yang mencarum," katanya.

Ismail berkata, PERKESO turut menyarankan kadar caruman minimum RM157 setiap bulan kepada semua pemandu teksi untuk menyahut saranan agar kebajikan mereka dan keluarga dilindungi.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com