Sanggup Tunggu Lebih 30 Minit Untuk Pulang Beg Tercicir


KUALA ROMPIN - Kejujuran seorang wanita memulangkan beg clutch berisi dompet dan barang peribadi lain yang tercicir di sebuah cafe di Johor Premium Outlets (JPO) kepada pemiliknya wajar diberikan pujian.

Atas rasa kagum, pemilik beg berkenaan yang merupakan Pegawai Daerah Rompin, Datuk Mohd Zulkifli Hashim telah berkongsi kisah itu di akaun Facebooknya, kelmarin.

Menerusi entry Facebooknya itu, beliau memberitahu wanita yang dikenali sebagai Ong Li Wen itu telah menghubunginya dan sanggup menunggu selama lebih 30 minit sebelum beliau tiba.

Rata-rata rakan serta kenalan mayanya memberikan reaksi positif antaranya memuji kejujuran wanita itu yang juga merupakan Presiden Mandarin Toastmaster Club.

Mohd Zulkifli yang dihubungi mengakui perasaannya bercampur baur, terharu dan gembira selain menasihati diri sendiri agar lebih berhati-hati pada masa akan datang.

Beliau berkata, kerap kali terbaca kisah kejujuran masyarakat di luar sana tetapi kali ini terjadi kepada dirinya sendiri.

"Dia perasan beg saya tercicir di kerusi yang saya duduk di cafe kompleks membeli belah itu. Jadi dia buka beg, ada dompet dan ada business card yang mempunyai nombor telefon sebelum dia hubungi saya.

"Kejujurannya buat saya rasa terharu. Saya yakin jika sikap sebegini yang ditanam dikalangan segenap masyarakat, kita akan menikmati kehidupan yang lebih sejahtera," katanya yang dihubungi Sinar Harian, semalam.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com