Saluran Sempit Punca Kerap Berlaku Banjir Di Mukim Telaga Mas


ALOR SETAR - Petani di Mukim Telaga Mas memohon agar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) Kedah membina segera terowong saliran baharu bagi mengelak banjir berulang hingga menjejaskan tanaman padi mereka.

Seorang petani, Yahya Md Isa, 66, dari Kampung Belukar berkata, kegagalan Mada membina terowong baharu untuk mengeluarkan air di situ menyebabkan banyak sawah ditenggelami air.

Katanya, terowong saliran keluar sedia ada sudah tidak mampu menampung jumlah air yang mengalir ke tali air berdekatan.

“Selepas Mada tutup sebuah terowong saliran beberapa tahun lalu, semua air dari kawasan sawah yang berkeluasan berpuluh hektar terpaksa keluar menerusi satu saliran saja. Sebab tu bila hujan lebat, petani di sini risau kalau banjir akan berulang.

“Musim ni padi saya empat kali ditenggelami banjir sampai terpaksa tanam semula. Jarak sawah kami dengan saliran yang ada sekarang sejauh 1 kilometer (km). Ini menyebabkan air mengalir keluar sangat lambat,” katanya memetik Sinar Online.

Menurut Yahya, kawasan tersebut merupakan pengeluar utama padi, tetapi masalah itu menyebabkan pengeluaran padi di situ turut terjejas.

"Masalah ini sudah diadukan kepada Mada setiap kali mesyuarat, tetapi masih belum ada sebarang tindakan diambil sehingga sekarang," ujarnya.

Bagi Husin Md Saad, 55, sudah tiba masa Mada membesarkan atau membina satu lagi terowong saliran air supaya dapat menampung kandungan air yang mengalir dari sawah.

Jelasnya, masalah itu sudah lama berlarutan menyebabkan petani sentiasa menanggung kerugian terutama jika berlaku hujan lebat di kawasan itu.

"Masalah terowong tu bukan saja memberi kesan kepada hasil pertanian, tetapi juga penduduk kampung kerana sentiasa dihantui banjir apabila air dari sawah melimpah masuk ke kampung.

“Setiap kali hujan lebat sudah pasti ada beberapa keluarga terpaksa berpindah dari rumah mereka kerana bimbang air naik begitu cepat kerana terowong yang ada sekarang sudah tidak mampu menampung air keluar dari kawasan itu,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com