Salji Tebal Landa China


BEIJING - Salji tebal menjejaskan beberapa bahagian di China, hari ini, menyebabkan banyak lebuh raya ditutup dan penerbangan serta perjalanan kereta api dibatalkan.

Keadaan itu juga menyebabkan pertandingan akhir Piala Asia Bawah 23, antara Vietnam dan Uzbekistan, yang berlangsung di Changzhou di wilayah Jiangsu, terganggu selama satu jam berikutan salji memenuhi padang.

Di wilayah Hubei, sebahagian daripada lebih 30 lebuh raya ditutup kerana diselaputi ais, lapor agensi berita Xinhua.

Tiga stesen kereta api di Wuhan, ibu negeri Hubei, membatalkan lebih 100 perjalanan.

Menjelang tengah hari, 95 penerbangan dibatalkan oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe Wuhan menyebabkan 1,200 penumpang terkandas.

Lapangan terbang di Nanning, ibu negeri Wilayah Autonomi Guangxi, juga membatalkan banyak penerbangan.

Pusat Kaji Cuaca Kebangsaan membaharui amaran jingga hari ini dan meramalkan salji tebal di beberapa bahagian di Henan, Hubei, Guizhou dan Hunan serta kawasan sepanjang Sungai Yangtze dan Huaihe. - REUTERS

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com