Sakit Batu Karang Umpama Kontraksi Bersalin


DALAM prosedur endoskopi karang dipecahkan di dalam ureter sehingga menjadi serbuk melalui skop berkamera yang dimasukkan melalui salur kencing.

“Perasaannya seperti sakit hendak bersalin. Ada sesuatu yang tersekat di salur urin. Jauh di sudut hati saya merasakan ia adalah rahim peranakan. Perasaan takut dan sakit bergabung menjadi satu seolah-olah nyawa terpisah dari badan.

“Buntu dengan keadaan itu saya minum kira-kira tiga liter air. Tidak lama kemudian tiga biji batu bergerigi sebesar kepala mancis berwarna kelabu keluar bersama air kencing,” imbaunya kepada Kosmo! ketika berkongsi pengalaman menghadapi penyakit batu karang pada tahun 2002.

Menurutnya, enam bulan sebelum itu, Azriza sering berasa sakit di bahagian abdomen, pinggang dan sekitar kawasan ari-ari setiap kali datang bulan dan mengalami masalah kencing tidak lawas. Namun, selepas batu-batu tersebut keluar ia tidak lagi berlaku.

“Begitupun, pada Oktober tahun lalu, rasa sakit yang serupa menyerang saya buat kali kedua. Tanpa menunggu lama saya mendapatkan rawatan di hospital dan menjalani prosedur endoskopi mengeluarkan batu karang.

“Ketika doktor memasukkan alat untuk mengimbas buah pinggang sebelah kiri terdapat sekurang-kurangnya 10 biji batu bersaiz kecil turut keluar,” ujar ibu kepada empat cahaya mata itu.

Guru subjek Bahasa Inggeris dan Ekonomi di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 10 Kota Damansara, Selangor itu dibius terlebih dahulu sebelum prosedur tersebut dijalankan. Selepas dua hari, Azriza pulih sepenuhnya dan kembali menjalani rutin hariannya seperti sedia kala. Sejak itu, anak kelahiran Bukit Tembaga, Kuala Nerang, Kedah itu menjaga diet pemakanannya.

Pemakanan

“Batu karang dalam kes saya merupakan batu jenis kalsium oksalat. Doktor beritahu, bahan itu terdapat dalam hidangan seperti bendi, kangkung dan bayam selain daging merah yang tinggi kandungan protein purina. Kesemuanya makanan kegemaran saya.

“Daging contohnya, tidak kira lembu atau kambing menjadi menu kegemaran kami sekeluarga dan pasti dimasak rumah sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

“Kini, saya tidak lagi makan secara semberono. Saya dikatakan berisiko mengalami pembentukan batu karang baharu hanya dalam tempoh beberapa bulan jika tidak mengawal pemakanan,” ujarnya ketika ditemui.

Sementara itu, Perunding dan Pakar Bedah Urologi Pusat Perubatan Tropicana, Dr. Muhilan Parameswaran menjelaskan, batu karang terbentuk daripada bahan kimia tertentu dalam urin berkepekatan tinggi yang membentuk kristal.

“Kristal yang semakin membesar akhirnya menyumbatkan proses perkumuhan kencing seterusnya menyebabkan kesakitan.

“Secara umum jenis penyakit batu karang boleh dikelaskan kepada empat kategori. Selain batu karang jenis kalsium oksalat yang berpunca daripada pengambilan makanan tertentu secara berlebihan, batu karang asid urik pula disebabkan oleh makanan laut,” katanya.

Batu karang struvite pula mengandungi elemen magnesium ammonium fosfat kerana jangkitan salur kencing kronik oleh bakteria yang menghasilkan enzim tertentu.

Jenis yang terakhir ialah, batu sistin. Ia terjadi dalam kalangan individu yang tubuh mereka tidak berupaya menghasilkan enzim serta cecair kimia tertentu pada kadar seimbang untuk memproses makanan. Secara ringkas ia merupakan masalah genetik.

Disebabkan faktor penyebab yang pelbagai, penyakit batu karang boleh menimpa sesiapa sahaja termasuk pada bayi dan kanak-kanak.

Begitupun, selama kira-kira sedekad mengendalikan pesakit batu karang, beliau berpendapat, faktor pemakanan menjadi antara faktor utama pembentukan batu karang.

Menurutnya, banyak makanan termasuk makanan yang dianggap tidak berbahaya seperti kacang soya, tomato serta beberapa jenis sayuran berdaun besar boleh menjadi punca batu karang terbentuk di bahagian ginjal hingga ke saluran kencing.


Gaya hidup

“Ia bermula dengan kristal atau hablur yang lebih halus sebelum lama-lama akan melekat-lekat dan menjadi batu. Tetapi kita boleh menghalang kristal itu daripada melekat di buah pinggang dengan mengambil makanan berlimau seperti buah oren dan lemon,” katanya.

Beliau turut mendedahkan, golongan lelaki lebih berisiko menghadapi batu karang berbanding wanita dengan nisbah 60:40. Begitupun, kes melibatkan wanita kian meningkat sejak akhir-akhir ini kerana diet mereka boleh dikatakan setara dengan lelaki seperti tinggi protein.

“Saya fikir gaya hidup makanan mewah makanan orang Malaysia menyumbang masalah ini. Sebagai contoh, mungkin sedekad lalu kita hanya makan daging seminggu sekali atau kurang daripada itu. Tetapi kini hari-hari kita boleh makan,” katanya.

Muhilan menambah, mungkin ada antara kita mempunyai batu karang di dalam buah pinggang tetapi tidak mengalami sebarang simptom. Pendek kata, kewujudan batu karang tidak diketahui sehinggalah ia menyebabkan jangkitan atau kerosakan buah pinggang sama ada tersumbat atau sebagainya.

“Pada peringkat berkenaan pesakit akan mengalami demam yang tinggi dan terpaksa menjalani dialisis kerana buah pinggangnya telah rosak,” tuturnya.

Katanya, pilihan rawatan penyakit batu karang bergantung kepada saiz batu karang yang terhasil, lokasi batu dan komplikasi serta risikonya kepada pesakit.

Katanya, jika wujud gejala batu karang, doktor boleh akan menjalankan ujian darah dan air kencing, sinar-X, ultrabunyi dan imbasanTomografi Berkomputer (CT).

Ada juga ubat membantu mengeluarkan batu karang dalam saluran buah pinggang dengan lebih cepat. Ubat sebegini melonggarkan saluran ureter dan menyebabkan batu karang jatuh ke pundi kencing, seterusnya keluar bersama air kencing.

Dalam keadaan tertentu seperti saiz batu karang yang terlalu besar pembedahan terpaksa dilakukan.

Laser

“Terdapat juga kaedah bukan pembedahan seperti prosedur endoskopi yang memerlukan skop berkamera halus dimasukkan melalui salur kencing dan terus masuk sampai ke lokasi batu karang. Lebih 97 peratus pesakit menggunakan kaedah itu.

“Ia memiliki kamera penglihatan 270 darjah dan boleh meliputi keseluruhan kawasan di samping mengeluarkan imej definisi tinggi yang sangat jelas untuk membantu doktor memantau bahagian terlibat.

“Ketika itu, laser akan memecahkan batu karang sehingga menjadi serbuk halus. Seterusnya, ia akan dikeluarkan melalui salur kencing dan kita akan memberi pesakit banyak air melalui drip,” katanya.

Secara umum, prosedur endoskopi menjadi pilihan pesakit kerana ia lebih selamat, bersih dan pesakit dapat sembuh dengan cepat.

“Risikonya hanya sekitar satu peratus iaitu ia boleh menyebabkan saluran kencing terkoyak dan pesakit perlu menjalani pembedahan untuk memperbaikinya tetapi ia sangat jarang berlaku.

“Selain itu, pesakit akan diberi antibiotik sebelum, semasa dan selepas rawatan kerana berkemungkinan sepsis atau jangkitan boleh berlaku ketika proses menghancurkan batu.

Segelintir pesakit memberitahu, rawatan alternatif yang paling popular ialah mengeluarkan batu karang secara ghaib dengan hanya menggerakkan tangan.

“Memang penyakit batu karang tidak boleh menyebabkan kematian secara langsung. Tetapi seseorang itu boleh meninggal dunia akibat komplikasi batu karang seperti jangkitan kuman yang serius atau sebagainya.

“Jika pesakit pilih (kaedah alternatif) saya tidak boleh halang, tetapi saya akan nasihati mereka buat imbasan semula selepas rawatan. Jika batu masih ada kita akan cadangkan langkah seterusnya,” tuturnya.

Penyakit batu karang boleh menyerang sesiapa sahaja termasuk bayi dengan amalan pemakanan tidak sihat menjadi antara punca penyebab utama masalah itu.

Sumber: Kosmo

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com