Sabitan Kes Pemerdagangan Orang 2017 Meningkat


PUTRAJAYA - Jumlah sabitan kes pemerdagangan orang tahun lalu meningkat kepada 147 orang berbanding 100 sabitan pada tahun sebelumnya.

Sehubungan itu, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim, berkata kerajaan sudah bersetuju dengan cadangan penubuhan Mahkamah Sesyen Antipemerdagangan bermula Mei depan.

"Ini bagi mempercepatkan pengurusan kes dengan memastikan aspek kebajikan dan hak asasi mangsa pemerdagangan orang terus terpelihara.

"Seramai 150 orang mangsa pemerdagangan orang sudah mula menerima insentif bulanan, manakala 95 orang mangsa kini menikmati kebenaran bergerak bebas dan bekerja di Malaysia.

"Beberapa program juga dirancang untuk menambah baik program kebenaran bekerja melalui pembabitan secara langsung industri dan pemeteraian dokumen kerjasama antara kerajaan serta majikan dalam setiap sektor yang dikenal pasti," katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran Bil.1/2018 (MAPO) dipengerusikan Alwi yang juga Pengerusi MAPO, semalam.

Hadir sama, wakil Ketua Setiausaha dan Ketua Jabatan yang juga ahli MAPO, selain wakil Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Kuala Lumpur iaitu Timbalan Ketua Misinya di sini, Dean Thompson.

Mesyuarat pertama bagi tahun ini membincangkan pencapaian sepanjang tahun lalu dan perancangan program sepanjang 2018 serta inisiatif baharu dalam memperkasa perundangan, mengukuhkan kerjasama antara agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam siasatan kes serta pengurusan mangsa pemerdagangan orang.

Alwi turut menyifatkan pembabitan cergas NGO dalam pengurusan mangsa pemerdagangan orang sebagai perkembangan positif serta perlu diteruskan bagi memastikan kebajikan mangsa dapat terus terpelihara dan tanggungjawab dapat dikongsi bersama.

Bagi aspek pencegahan, libat urus (engagementy) dengan negara sumber, kedutaan dan industri akan terus dipertingkat bagi memastikan elemen antipemerdagangan orang diterapkan pada semua peringkat sepanjang rantaian bekalan.

Ahli MAPO juga menandatangani Ikrar Bebas Rasuah disaksikan wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menterjemahkan komitmen negara membanteras sebarang perlakuan rasuah dan salah guna kuasa ketika melaksanakan tugas membanteras jenayah pemerdagangan orang serta penyeludupan migran.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com