Rupanya Ustaz Kazim Peminat Kereta Mainan


IPOH - “Saya paling suka Ferrari dan Lamborghini, sebab ada lampu. Sekejap saya tarik ke belakang lepas tu ke depan, lepas tu saya main balik, jadi hilanglah stress saya.”

Itu reaksi penceramah terkemuka, Datuk Mohd Kazim Elias apabila ditanya mengenai hobinya bermain kereta mainan yang mula tular di laman sosial.

Perkongsian yang dibuat di Facebooknya pada Rabu lepas sedikit ‘mengejutkan’ banyak pihak apabila ramai tidak menyangka penceramah itu sebenarnya gemar bermain kereta mainan.

Sehingga kelmarin, status berkenaan telah dikongsi lebih 5,600 pengikutnya di laman Facebook.

Mohd Kazim berkata, ada ketika, bermain bersama koleksi kereta kesayangannya itu memberikan dirinya sedikit ketenangan dan meredakan tekanan setiap kali pulang ke rumah apabila selesai bertugas.

Katanya, semua kereta berkenaan turut menjadi peneman ketika dirinya sukar untuk melelapkan mata pada waktu malam.

“Kadang-kadang penat, bila balik berceramah jam dua tiga pagi, benda yang menghiburkan saya, kereta tu la.

“Koleksi kereta tu saya beli di merata tempat, paling jauh saya beli di Turki. Ada juga yang saya beli di Makkah. Rasanya koleksi kereta tu tak dapat di tempat lain,” katanya.

Ditanya mengenai status-status lain yang dimuat naik di laman Facebook, Mohd Kazim berkata, itu antara kaedah yang digunakannya bagi mendekati dan bermesra dengan pengikutnya yang hingga kini mencecah 1.3 juta.


Katanya, beliau lebih gemar memuatnaik status yang bersifat santai, bukan mesej-mesej berat seperti kebiasaan dilakukan selayaknya penceramah.

“Macam cerita biasa, makan tepi longkang, main badminton semuanya adalah kehidupan kita sehari-hari. Saya masukkan kehidupan sebenar saya. Saya nak bagi orang happy, enjoy. Tiada yang salah kerana saya nak lebih mesra dengan pengikut saya.

“Orang yang tak minat dengan majlis ilmu pun boleh dekati saya dengan Facebook, lama-lama dia akan jinak dengan masjid.  Ini cara kita, dan nampaknya berjayalah.

“Untuk sesetengah orang yang kata cara itu tak berilmiah, mudah sahaja...saya kata kalau tak berilmiah sila datang ke sekolah saya, saya mengajar berkitab-kitab sehari, ceramah siang malam untuk dia,” katanya.

Sumber:Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com