Rojak 'Nam Pla Wan' Kini Di Sungai Petani


SUNGAI PETANI - Sebut sahaja rojak buah pasti kita dapat membayangkan keenakan buah-buahan segar seperti nanas, mangga, jambu dan sengkuang yang dihiris nipis serta dimakan bersama kuah atau sos.

Tidak dinafikan menu ringkas ini antara makanan kegemaran rakyat Malaysia ketika bersantai di waktu petang.

Bagi pengusaha muda, Anas Azizie Rosli, 21, menyedari potensi rojak buah membuatkan dia berusaha mempelbagaikan cara penyediaannya dengan menerapkan cita rasa negara jiran, Thailand.

Katanya, dia menggunakan ‘nam pla wan’ atau sambal belacan Thai iaitu kuah yang menggantikan kuah yang biasa digunakan dalam menu rojak buah tempatan.

“Nan pla wan ini adalah kuah yang biasa dimakan bersama buah-buahan di Thailand.

“Bagaimanapun, saya membuat kelainan dengan menggunakan ia dalam menu rojak buah saya,” katanya ketika ditemui di gerainya di Laguna Merbok di sini.

Menurut graduan Diploma Seni Kulinari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang ini, idea menggunakan bahan itu dalam menu rojak buahnya tercetus daripada bapanya, Rosli Saad, 50, yang menjadi pemandu van pelancong ke Thailand sejak 20 tahun lalu.

“Selepas tamat pengajian pada April 2017, saya menjual buah potong saja yang disediakan bersama serbuk asam boi dan garam.

“Bagaimanapun, ayah yang sering berulang alik ke Thailand memberi idea kepada saya untuk mencuba menggunakan ‘nam pla wan’ yang boleh dimakan bersama buah-buahan yang saya jual sehingga terhasilnya menu Rojak Songkhla,” katanya.


Menurut Anas, nama Songkhla yang digunakan juga daripada idea bapanya yang terpikat dengan wilayah di negara Gajah Putih itu yang kaya dengan aneka makanan.

“Kami memperkenalkan Rojak Songkhla ini bukan kerana menu ini terdapat di Songkhla tetapi sekadar menggunakan nama wilayah itu dalam menu rojak kami yang awalnya ingin diberi nama Rojak Buah,” katanya.

Anas berkata, keunikan ‘nam pla wan’ kerana dibuat menggunakan gula kelapa laut yang diperoleh terus dari Thailand.

Katanya, gula kelapa laut adalah bahan kebiasaan yang digunakan dalam kebanyakan makanan Thailand.

“Nam pla wan mempunyai rasa yang berbeza dengan kuah rojak biasa kerana selain menggunakan gula kelapa laut, ia juga dimasukkan bahan lain seperti bawang, cili padi dan juga udang kering,” katanya.

Tambah menarik, kebanyakan barangan yang digunakan dalam perniagaannya adalah berasal dari Thailand seperti beberapa jenis buah-buahan yang dibeli terus dari negara itu seperti jeruk jambu dan ‘baby’ nanas selain serbuk asam, serbuk cili dan juga bungkusan makanan.

Dalam pada itu, katanya sejak menggunakan Facebook bagi mempromosikan rojaknya pada Julai 2017, gerai yang dibuka bermula 11 pagi sehingga 8 malam itu mula tular di media sosial itu sehingga ada pelanggan datang dari daerah lain ke gerainya bagi mendapatkan Rojak Songkhla.

Tidak hairanlah anak ketiga daripada lima beradik mampu menjual melebihi 50 bungkusan setiap hari dengan harga RM6 setiap satu.

Katanya, selain Rojak Songkhla, terdapat menu lain seperti pulut ayam dan pulut mangga yang turut dijual di gerai itu.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com