Replika Wau Terbesar SMK Malim Nawar Diiktiraf MBOR


KAMPAR - Replika wau terbesar yang dihasilkan guru, ibu bapa dan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim Nawar, di sini hari ini menerima pengiktirafan daripada Malaysia Books of Record (MBOR) sebagai yang terbesar pernah dibuat di negara ini.

Wau bersaiz 75 meter panjang dan 70 meter lebar itu yang hampir memenuhi sebuah padang bola, dibuat menggunakan lembaran plastik yang dicantumkan pada rangka wau yang diperbuat menggunakan buluh hasil kerjasama antara warga sekolah bersama ibu bapa pelajar.

Pengarah projek yang juga guru Pendidikan Seni Visual (PSV) sekolah berkenaan, Muzafar Saari, berkata idea untuk menghasilkan replika wau itu tercetus bulan lalu sebelum usaha pembuatannya dimulakan sejak 3 Januari lalu.

Katanya, projek itu dapat membantu memupuk penjanaan minda bagi menghasilkan sesuatu yang kreatif dan inovatif dalam kalangan pelajar, selain bertujuan mengeratkan hubungan sosial dan silaturahim dan mengetengahkan semangat kerjasama antara pelajar, ibu bapa serta warga pendidik sekolah yang berbilang kaum.


"Pada asalnya replilka wau ini yang dibina hasil usaha sama 649 pelajar serta 80 warga pendidik sekolah ini menggunakan kira-kira 500 lembaran kertas surat khabar pada bahagian badannya. Bagaimanapun ia musnah kerana hujan lebat pada petang Jumaat.

"Keadaan itu memaksa semua pelajar dan guru dan ibu bapa bersengkang mata sejak petang semalam hingga awal pagi ini bagi menggantikan bahagian badan wau yang musnah itu dengan lembaran plastik, Alhamdulillah ia berjaya disiapkan juga," katanya.

Perasmian projek berkenaan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi, dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Turut hadir, Eksekutif Pentadbiran MBOR, Siti Hajar Johor yang turut mengesahkan pengiktirafan projek berkenaan dan Pengetua SMK Malim Nawar, Ismail Ebrahim.

Terdahulu, Ismail berkata aktiviti berkenaan juga adalah sebahagian dari usaha menyuntik semangat ke arah mewujudkan identiti nasional dalam kalangan pelajar kerana SMK Malim Nawar terpilih sebagai satu-satunya sekolah di daerah Kinta Selatan di bawah Program Transformasi Sekolah TS25 (2.0).

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com