Remy Ishak Nafi Tunang Status Janda


SERI KEMBANGAN - Pelakon, Remy Ishak, menegaskan segala keputusan berkaitan soal mendirikan rumah tangga terletak di tangannya dan beliau sendiri tidak terburu-buru untuk berbuat demikian.

Remy, 36, memberikan alasan beliau perlu bersedia dari pelbagai sudut, terutama kewangan, kerana sebagai lelaki dan bakal ketua keluarga, perkara itu amat penting buat dirinya.

"Saya bukanlah seorang yang kaya. Bukan berduit sangat pun. Jadi, kenalah kumpul duit dulu sebelum mendirikan rumah tangga.

"Mujurlah tunang saya tidak terlalu mendesak dan memahami situasi saya. Kalau dia mendesak sekali pun, saya tetap dengan keputusan saya dan tiada siapa boleh mengubah pendirian itu.

"Mahu atau tidak, dia kenalah terima hakikat berkenaan," katanya ketika ditemui pada sesi fotografi pelakon drama bersiri lapan episod berjudul Dosa, di sini semalam.

Menerusi drama kolaborasi tiga negara arahan Ifa Isfansyah itu, Remy memegang watak sebagai Farid Latif. Turut berlakon dalam naskhah berkenaan ialah Ashraf Sinclair, Hisyam Hamid, Roy Marten, Shenty Feliziana dan Reuben Elishama.

Mengulas status tunangnya yang dikatakan sebagai janda anak satu seperti ditularkan baru-baru ini, Remy menafikan perkara berkenaan.

"Dia belum berkahwin," tegasnya ringkas.

Remy atau nama sebenarnya, Mohamad Zalimei Ishak, dan pilihan hatinya, Roszaliza Yusof atau Ezza, yang juga seorang pengasas produk kecantikan, bertunang pada Mei tahun lalu

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com