Remaja Rohingya Dikhuatiri Lemas


KUALA BERANG - Seorang remaja warga Rohingya dikhuatiri lemas ketika mandi bersama empat lagi rakannya di Jambatan Sungai Berang dekat Kampung Gaung, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang semalam, mangsa Mohammad Rahim Salleh Ahmad, 17, dari Madrasah Hidayah Rohingya Datuk Abd Rahman, di sini, dihanyutkan arus sungai bersama dua lagi rakannya.

Bagaimanapun, dua rakannya itu berjaya menyelamatkan diri daripada terus hanyut dengan bantuan orang kampung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Penolong Penguasa Bomba Hairysam Mat Tahar, berkata operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan pihaknya setakat ini gagal menemui mangsa.

Hairysam berkata, seramai dua pegawai dan 17 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Lima pelajar daripada madrasah itu sedang bermain di padang rekreasi berdekatan Jambatan Sungai Berang sebelum turun mandi ke sungai itu pada jam 5.15 petang.

"Ketika sedang leka mandi seorang daripada mereka dihanyutkan arus sungai yang deras dan hilang," katanya.

Katanya, gerakan mencari dan menyelamat dilakukan oleh anggota penyelamat dengan menyusuri sungai sebelum dihentikan pada jam 7 malam tadi kerana cuaca gelap.

"Operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan semula pada jam 8 pagi esok.

"Selain bomba, lapan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut bersama-sama membantu mencari mangsa," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com