Remaja Maut Terkena Kerusi Dilempar Dari Tingkat Atas PPR


KUALA LUMPUR - Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas ditimpa sebuah kerusi dipercayai dicampak dari tingkat atas di Blok 102 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.30 malam, S Sathiwaran yang juga pelajar Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Petaling Jaya dikatakan sedang berjalan bersama ibunya S Kasthurivai, 45, untuk balik ke rumah mereka di tingkat 16 blok terbabit.

Sumber memberitahu dua beranak terbabit sebelum itu pergi ke kedai runcit yang terletak di bawah PPR itu dan sebaik saja mereka menghampiri ruang tertutup berhampiran tangga, sebuah kerusi pejabat berwarna biru melayang dari atas dan terkena kepala mangsa.

"Akibat hentaman kerusi itu mangsa cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Ibu mangsa terselamat dalam kejadian itu," kata sumber itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan iaitu membunuh tanpa niat atau akibat kecuaian.

Difahamkan, pihak polis belum dapat mengenal pasti suspek yang membaling kerusi dan siasatan diteruskan.

Sumber: BH

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com