Ramon Beri Peluang Bintang Muda Kedah Menyinar


KUALA LUMPUR - Jurulatih Kedah, Ramon Marcote memberi bayangan beliau bersedia memberi peluang kepada pemain muda membarisi kesebelasan utama skuad Helang Merah bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Bekas penyelia metodologi Atletico Madrid itu menegaskan usia muda jelas tidak menjadi penghalang buatnya kerana apa yang lebih penting, mereka bersedia untuk beraksi di peringkat lebih tinggi dan memiliki kemampuan meningkatkan mutu persembahan pasukan.

"Saya melihat perkara ini bukan satu isu kerana pada pandangan saya, usia hanya sekadar nombor. Apabila pemain benar-benar bersedia untuk beraksi, ia akan memberikan lebih banyak pilihan kepada saya untuk membentuk pasukan ketika saingan sebenar bermula nanti.

"Atas faktor ini, saya menurunkan ramai pemain muda pada Kejohanan Piala Super Suramadu 2018 yang lalu kerana saya mahu melihat apa yang boleh mereka lakukan apabila beraksi di bawah tekanan. Saya akui saya berpuas hati dengan prestasi mereka.

"Apa pun, saya harap mereka akan terus bekerja keras untuk menjadi pemain yang lebih baik supaya sentiasa lebih bersedia membantu skuad Liga Super pada bila-bila masa," kata pengendali dari Sepanyol itu ketika dihubungi, hari ini.


Sepanjang kejohanan sempena perayaan ulang tahun Madura United itu, dua pemain muda Kedah, Hidhir Idris dan Zafuan Azeman mencuri tumpuan selepas kedua-dua pemain itu berjaya meledak tiga gol dalam tiga perlawanan.

Dua gol Hidhir dijaringkan pada aksi bertemu Persela Lamongan dan Persija Jakarta sementara Zafuan mencipta satu jaringan untuk gol pembukaan Kedah ketika bertemu Persela Lamongan.

Juara Piala FA 2017 itu menamatkan saingan Piala Super Suramadu di tangga ketiga selepas memungut tiga mata hasil tiga keputusan seri pada aksi empat penjuru yang turut menampilkan tiga kelab Indonesia.

Kedah seri 1-1 dengan Persija Jakarta, 2-2 dengan Persela Lamongan dan 2-2 menentang Madura United.

Sumber: Berita Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com