‘Ramai Orang Ingat Saya India’


SIAPA sangka nama yang biasa dipanggil rakan-rakan dan orang kampung sebagai Sitah sebenar berbeza dengan nama asal.

Menceritakan kisah unik namanya, Santa Dewi Sukir, 60, berkata, dia sebenarnya lebih suka orang memanggil namanya sebagai Sitah sahaja.

Menurutnya, nama asal itu sebenarnya diberi salah seorang pakcik, tetapi sehingga kini tidak diketahui kenapa nama itu dipilih.

“Kalau ikut nama adik beradik lain memang biasa saja. Tapi entah kenapa pakcik beri nama ini. Kadang-kadang malu juga sebab masa kecil ada kawan ejek.

“Ada juga keliru dengan nama ni. Ada ingat saya orang Indonesia, ada juga yang ingat saya orang India. Memang lucu,” katanya kepada Sinar Harian.

Santa Dewi berkata, dia pernah berurusan di pejabat kerajaan dan mereka pelik melihat nama apabila melihat wajahnya.


Katanya, ramai beranggapan Santa Dewi merupakan nama India, tetapi sebenarnya nama itu dimiliki wanita Melayu.

Dia yang lahir di Tanjung Bayan, Hutan Melintang berkata, tidak ramai yang mengetahui tentang nama sebenarnya kerana lebih selesa dipanggil Sitah.

“Semua orang panggil saya Sitah, cuma majikan saya panggil Dewi sebab katanya nama itu unik.

“Memang ada kawan-kawan yang tahu, tapi mereka tak panggil saya dengan gelaran pelik-pelik,” katanya yang bekerja sebagai pembantu am di sekolah di Bagan Datuk.

Sementara itu, ibu kepada empat anak ini pernah bercadang mahu menukar namanya, tetapi memandangkan banyak proses perlu dilakukan, dia membatalkan hasrat itu.

Katanya, nama tersebut sudah tertera pada sijil kelahiran kesemua anak dan jika penukaran nama dibuat, pasti berlaku kesulitan.

“Jadi, biarlah saya pakai nama ini. Memang unik dan macam-macam perkara lucu terjadi sebelum ini.

“Saya harap orang tak salah faham tentang nama ini dan panggil saja saya Sitah,” katanya.

Mempunyai tujuh adik beradik, Santa Dewi sudah berkahwin dengan Sadimin Kedah, 70, dan kini menetap di Kampung Rungkup Kecil, di sini.

Dalam pada itu, dia masih bekerja membantu keluarganya kerana suami tidak lagi mampu untuk bekerja kuat.

Katanya, keadaan kesihatan suami tidak menentu menyebabkan dia tidak boleh bergantung harap dengan pasangannya semata-mata.

Sementara itu, rakannya, Masitah Abdul Latif, 42, berkata, memang ramai tidak menyangka nama sebenarnya Santa Dewi termasuklah dirinya.

“Saya ingat namanya Masitah macam saya, tapi rupanya lain. Memang unik namanya itu.

“Kak Sitah memang kawan yang baik dan tahan seloroh. Kadang-kadang ada juga kami mengusik dia,” katanya.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com