Ramai Doktor Pakar Letak Jawatan Berhijrah Ke Pusat Perubatan Swasta


SEJAK 2011, Kementerian Kesihatan kehilangan 986 doktor pakar pelbagai bidang kerana meletakkan jawatan dan berhijrah ke pusat perubatan swasta.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, setiap tahun, pihaknya kehilangan kira-kira tiga peratus doktor pakar atau purata 106 hingga 170 orang setiap tahun antara 2011 hingga 2017.

Beliau berkata, jumlah itu dilihat meningkat dari tahun ke tahun dengan majoriti yang meletakkan jawatan berada pada gred UD53 dan ke atas.

"Pada tahun lalu, seramai 170 doktor pakar yang bekerja di hospital kerajaan meletakkan jawatan dan masing-masing berhijrah ke pusat perubatan swasta.

"Sukar untuk kita mengimbangkan pendapatan doktor yang berkhidmat di swasta dengan sektor awam namun, kita sedang cuba untuk mengecilkan jurang berkenaan," katanya pada sidang media di Putrajaya, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Subramaniam berkata, kehilangan doktor pakar memberi kesan besar kepada kementerian kerana hampir semua mereka sudah lama berkhidmat selain mempunyai pengalaman luas dalam bidang masing-masing.

"Oleh itu, menerusi Bajet 2018, setiap pakar perubatan gred UD54 dan ke atas diberi kelonggaran satu hari dalam seminggu semasa tempoh waktu bekerja untuk menambah pendapatan masing-masing.

"Mereka juga boleh menjalankan penyelidikan perubatan yang ditaja oleh industri melalui Clinical Research Malaysia (CRM) atau menjadi tenaga pengajar untuk melatih pelajar universiti awam (UA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS).

"Selain itu, mereka juga boleh menjalankan pekerjaan luar di sektor swasta dengan mengambil kira syarat tertentu termasuk isu liputan atau kos insurans," katanya.

Menurutnya, pelaksanaan waktu kerja fleksibel itu adalah salah satu usaha untuk menggalakkan lebih ramai pakar perubatan untuk terus berkhidmat dengan kementerian.

Beliau berkata, inisiatif itu dapat merapatkan jurang pendapatan antara doktor pakar di sektor awam dan swasta selain meningkatkan bilangan penyelidik dalam bidang perubatan dan kesihatan.

"Malah, ia juga dapat merangsang pemindahan pengetahuan kepada pelatih perubatan dan anggota kesihatan dalam pelbagai bidang pengajian," katanya.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com