Rakyat Marhaen Kecewa Tun M Calon PM Pakatan


KUALA LUMPUR – Jika anggota parti Pakatan Harapan boleh berasa kecewa, rakyat marhaen pastinya jauh lebih kecewa apabila gabungan parti pembangkang itu menamakan individu yang banyak melakukan onar kepada negara selama ini, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri.

Presiden Empirical Malaysia, Anina Saadudin berkata, perkara itu jelas terlihat apabila Parti Amanah Negara (PAN) Johor dan Perak serta akar umbi Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang merupakan parti terawal menganggotai Pakatan Harapan sebelum kehadiran parti Mahathir menolak pencalonan Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara pembangkang.

Kata beliau, rakyat marhaen turut mula mempersoalkan apakah Malaysia mahu mencipta rekod dunia melantik calon paling lewat usia yang berusia hampir 100 tahun untuk memerintah sesebuah negara atau memiliki satu-satunya Perdana Menteri dalam dunia yang menjadi Perdana Menteri semula selepas berjaya menjatuhkan dua Perdana Menteri selepasnya.

“Tidak sampai beberapa jam pengumuman itu, bait-bait perpecahan dalaman sudah timbul. Sebelum berlangsung konvensyen, PAN Johor memboikot Konvensyen Pakatan Harapan dan difahamkan PAN Perak juga memboikot konvensyen tersebut.

‘Terdapat sumber dalaman memberitahu sudah mula suara tidak berpuas hati dalam kalangan pemimpin serta ahli PAN yang rasa tertipu sebaik pengumuman Mahathir sebagai calon Perdana Menteri.

“Kemudian, PKR Selangor juga mengeluarkan kenyataan mengkritik keputusan dibuat semasa konvensyen. Nampaknya keputusan yang diharapkan memberi impak positif kepada pembangkang untuk menarik sokongan rakyat ditolak mentah-mentah oleh akar umbi sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Anina yang juga Bekas Ketua Serikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, pengumuman tersebut sebaliknya memberi implikasi buruk kepada pembangkang kerana menambah kecelaruan dan tidak mustahil bakal mengundang perpecahan dalaman dalam kalangan rakan parti gabungan itu.

Justeru, katanya, beliau mengucapkan tahniah kepada Mahathir kerana berjaya mempergunakan pembangkang untuk kepentingan diri dan keluarganya serta mengucapkan takziah kepada pembangkang kerana dipergunakan dengan mudah.

“Kepada seluruh pengundi Malaysia, tepuk dada tanyalah selera marhaen. Jangan terpedaya selera ahli politik di depan mata,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com