Pulau Pinang Bebas Rabies


GEORGETOWN - Pulau Pinang kini disahkan bebas dari penyakit anjing gila atau wabak Rabies selepas pelaksanaan Pewartaan Penyakit Rabies yang berkuatkuasa pada 15 September 2015 lalu.

Exco Kesihatan, Dr Afif Bahardin berkata, pengesahan itu dibuat selepas tiada kes baharu wabak tersebut dilaporkan dalam tempoh dua tahun ini.

"Rentetan kejadian penularan wabak Rabies di negeri pada 2015, kerajaan negeri melaksanakan Pewartaan Penyakit Rabies seperti peruntukkan mengikut Seksyen 39(1) Akta Binatang 1953 (Akta 647).

"Pewartaan ini dibuat selepas mendapati kes Rabies yang bermula di Perlis telah menular ke Pulau Pinang dan disahkan pada 14 September 2015 oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang," katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, beberapa langkah proaktif diambil antaranya, pengawasan klinikal ke atas haiwan, pensampelan aktif bagi memantau wabak Rabies dan pemusnahan anjing yang disyaki positif Rabies.

Dr Afif berkata, kerajaan negeri  melarang kemasukan anjing ke negeri ini dari Perak dan Sarawak dan menyekat permit kemasukan anjing dari kedua-dua negeri itu kerana wabak tersebut masih aktif di negeri berkenaan.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com