Prestasi Kedah Makin Baik, Marcote Tabik Anak Buah


ALOR SETAR - Jurulatih Kedah, Ramon Marcote menzahirkan rasa gembira dengan prestasi anak buahnya yang semakin menyerlah terutama ketika tirai saingan Liga Super semakin hampir untuk disingkap.

Hal itu dibuktikan ketika perlawanan persahabatan menentang Pulau Pinang di Stadium Negeri, Batu Kawan malam tadi yang menyaksikan Helang Merah menang 2-1.

Jelas Marcote, kemenangan itu menyuntik semangat baru buat semua pemain dalam persiapan pasukan tetapi ia tidak akan sesekali membuatkan mereka mendabik dada.

Katanya, untuk menjadi pasukan yang terbaik, mereka perlu memiliki kualiti dan setakat ini, beliau puas hati dengan persembahan anak buahnya termasuk pemain import yang sebelum ini dikritik hebat, Pablo Pallares.

"Meskipun dikritik teruk, Pablo menunjukkan prestasi yang cukup cemerlang sebagai seorang penyerang berbisa dengan memiliki corak serta kemahiran serangan yang tinggi.

"Tidak dinafikan juga beberapa pemain lain seperti Liridon (Krasniqi), Sandro (De Silva) dan Baddrol (Bakhtiar) yang turut mempamerkan taring.

"Selepas ini, satu lagi perlawanan persahabatan akan diadakan menentang kelab Thailand, Suphanburi FC.

"Persiapan Kedah tidak akan terhenti begitu saja kerana kami bakal bertemu JDT bagi merebut Piala Sumbangsih pada 3 Februari," katanya memetik BH Online. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com