PRESMA Tak Setuju Hadkan Operasi Restoran 24 Jam


KUALA LUMPUR - Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) tidak bersetuju dengan langkah Kementerian Kesihatan untuk mengehadkan tempoh operasi kedai mamak dan restoran 24 jam.

Presidennya, Ayoob Khan Muhamad Yakub, berkata hasrat kementerian itu yang bertujuan mengawal diet dan masalah kegemukan atau obesiti dalam kalangan rakyat seharusnya mempunyai fokus lebih jelas dan menyeluruh.

Beliau berkata, dengan menghadkan operasi restoran 24 jam, belum tentu dapat mengurangkan masalah seperti obesiti dan tabiat pemakanan tidak baik dalam kalangan masyarakat.

"Walaupun Kementerian Kesihatan mengambil langkah bijak mengenai risiko kesihatan terhadap rakyat, tetapi ia tidak berpunca daripada restoran 24 jam.

"Diet adalah sebahagian daripadanya, yang baik jika kita mempunyai kawalan ke atas barangan, terutama minuman manis dan makanan lemak. Kementerian Kesihatan perlu mengkaji status masalah obesiti yang lebih berkesan dan ini tidak tepat hanya disasarkan kepada restoran 24 jam," katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan, kewujudan restoran 24 jam benar-benar membantu mempromosikan banyak perkara yang baik, terutamanya menjadikan kawasan itu meriah dan menarik, sekali gus mempengaruhi industri pelancongan. 

"Menjadi keutamaan untuk mempromosikan tabiat makan yang lebih baik dan bukan menutup pintu restoran (24 jam) pada jam 12 malam.

"Kementerian Kesihatan harus meneliti masalah lain, sebaiknya tutup pusat hiburan lebih awal, terutama yang dibuka dari jam 6 petang hingga 11 pagi hari berikutnya.

"Kita perlu melihat dengan lebih teliti untuk kebaikan dan kesihatan rakyat, dengan mendidik mereka melalui pelbagai cara (mengenai diet dan amalan pemakanan yang baik)," katanya. 

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam bahawa masa operasi restoran mamak dan gerai 24 jam akan dihadkan sekiranya mendapat persetujuan pelbagai pihak bagi memastikan masyarakat umum mengamalkan gaya hidup sihat.

Ayoob Khan berkata, penyakit tidak berjangkit (NCD) atau penyakit kronik seperti jantung dan kencing manis adalah membimbangkan, dan seharusnya kementerian meletakkan keutamaan kepada pengawalan penyakit itu.

"Rokok, tembakau dan minuman beralkohol sangat berbahaya bagi penyakit kronik. Ini menjadi keperluan untuk meningkatkan kawalan terhadap tembakau dan minuman keras," katanya.

Beliau berkata, PRESMA akan terus menjadi nadi restoran 24 jam ini sebagai membantu mempromosikan tarikan pelancongan serta menceriakan bandar diseluruh negara terutama pada waktu malam.

"Tanpa restoran 24 jam rakyat akan menghadapi pelbagai kesulitan kerana restoran ini adalah satu fenomena yang mengeratkan silatulrahim dalam kalangan rakyat majmuk. Restoran ini juga bukanlah satu perkara baru di Malaysia," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com