PPBM Tidak Mampu Terajui Pakatan Harapan Di Kedah - Ahmad Bashah


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak akan mampu menerajui pakatan pembangkang di Kedah berikutan gabungan itu dilihat masih jelas berada dalam keadaan bercelaru.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata PPBM boleh mengidamkan sebanyak mana kerusi untuk bertanding di negeri ini, namun ia tidak akan dipersetujui oleh parti lain dalam pakatan pembangkang yang masing-masing mahu meletakkan calon sendiri.

"Apa saja keputusan PPBM, pasti akan berlaku perebutan kerusi dengan parti lain dalam pembangkang yang sudah lama di Kedah seperti yang kini menyertai Parti Amanah Negara (PAN)...jika mahu menetapkan calon sahaja mereka sudah bercelaru, bagaimana mereka akan memimpin kelak.

"Tidak mustahil mereka akan mengheret rakyat dalam kecelaruan pimpinan mereka yang akhirnya akan memusnahkan masa depan rakyat dan negara sendiri," katanya

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat PPBM untuk bertanding di enam kerusi Parlimen di Kedah termasuk Pulau Langkawi, Jerlun dan Kubang Pasu selain 12 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar Kedah pada masa sama mengulangi keyakinan bahawa Barisan Nasional (BN) negeri akan mengekalkan dua per tiga kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Katanya, rakyat kini tidak lagi boleh diperbodohkan dalam soal memilih calon yang akan menjadi pemimpin mereka selepas itu. 

Sumber: BH 

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com